Malaysia kecam tindakan Israel tutup pintu Masjid Al-Aqsa kepada umat Islam
SEREMBAN – Malaysia mengecam keras tindakan Israel menutup pintu masuk kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis yang disifatkan sebagai langkah tidak bermoral kerana menyekat umat Islam, khususnya rakyat Palestin daripada menunaikan ibadah pada bulan Ramadan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan rejim Zionis itu merupakan perbuatan keji yang wajar dikecam oleh masyarakat antarabangsa.
Menurut beliau, selain melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin termasuk membunuh wanita dan kanak-kanak tidak berdosa pada bulan Ramadan, Israel kini bertindak menutup akses ke kompleks Masjid Al-Aqsa.
“Kita mendapat khabar rejim Zionis, selain kekejaman terhadap rakyat Palestin dengan membunuh wanita dan kanak-kanak tidak berdosa pada bulan Ramadan ini, mengambil satu lagi tindakan keji dengan menutup pintu kompleks Masjid Al-Aqsa daripada orang Palestin untuk menjalankan ibadah.
“Ini satu perkara tidak bermoral menahan orang daripada menggunakan tempat ibadah yang sudah pun beribu tahun digunakan oleh orang Islam,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepemimpinan Jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau, di sini malam tadi.
Terdahulu, media melaporkan lapan negara majoriti Islam menggesa Israel segera menghentikan penutupan pintu masuk kompleks Masjid Al-Aqsa serta menarik balik sekatan akses ke Kota Lama Baitulmaqdis.
Menteri Luar dari Indonesia, Mesir, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengeluarkan kenyataan bersama mengecam tindakan berterusan Israel menutup kawasan berkenaan kepada umat Islam, terutama pada bulan Ramadan.
Dalam masa sama, Wisma Putra turut menegaskan bahawa sekatan tersebut bersifat diskriminasi dan merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








