BERITA SEMASALUAR NEGARA

Indonesia hantar 1,000 tentera ke Gaza, rakyat persoal peranan sebenar dalam ISF

JAKARTA – Keputusan Indonesia menghantar pasukan tenteranya ke Gaza mencetuskan perbahasan dalam kalangan rakyat negara itu apabila timbul persoalan mengenai peranan sebenar angkatan bersenjata republik itu dalam di bawah Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang dibentuk Amerika Syarikat.

Walaupun Indonesia berpengalaman luas menyertai misi pengaman di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketiadaan pemantauan langsung badan dunia itu dalam misi terbaharu ini menimbulkan kebimbangan bahawa pasukan negara itu berisiko dimanipulasi oleh AS, sekutu utama Israel.

Penghantaran 1,000 anggota itu merupakan kelompok pertama daripada keseluruhan 8,000 anggota yang dijanjikan untuk menyertai ISF, sebuah inisiatif di bawah Lembaga Keamanan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Jurucakap Tentera Nasional Indonesia, Brigedier Jeneral Donny Pramono berkata, kumpulan pertama dijangka tiba seawal April, manakala sebahagian besar anggota akan ditempatkan di lapangan menjelang Jun.

Pensyarah bersekutu Universiti Indonesia, Shofwan Al Banna Choiruzzad berkata, terdapat kebimbangan bahawa Indonesia akan dijadikan pasukan ‘penampan’ untuk mengawal rakyat Palestin.

“Indonesia telah membina reputasi sebagai antara rakan paling aktif membantu Palestin di lapangan. Ia akan menjadi sesuatu yang menyakitkan jika tentera Indonesia dilihat sebagai instrumen kepada pendudukan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan risiko Indonesia sekadar menjadi ‘penyerap hentakan’ atau pihak yang digunakan untuk memberi legitimasi terhadap penguasaan Israel di Gaza.

Keadaan menjadi lebih rumit memandangkan Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel berikutan pendirian teguhnya menyokong perjuangan Palestin.

Terdahulu, beberapa negara lain termasuk Kosovo, Morocco, Albania dan Kazakhstan turut menyatakan komitmen menyertai misi tersebut, namun belum memperincikan jumlah kekuatan tentera masing-masing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button