Kanak-kanak perempuan maut akibat didera, polis tahan 4 ahli keluarga
IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia di Hospital Taiping, kelmarin, dipercayai menjadi mangsa penderaan susulan terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badannya.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asistan Komisioner Abdul Malek Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa berusia lapan tahun sembilan bulan itu daripada pegawai perubatan hospital berkenaan.
Menurut Abdul Malek, kanak-kanak itu sebelumnya dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Zon Merah pada pukul 12.43 tengah hari.
“Doktor yang bertugas telah memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit, namun mangsa tidak menunjukkan pemulihan peredaran spontan (ROSC) sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.12 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ada beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan mangsa.
“Keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan hentakan objek tumpul,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Susulan itu, empat individu membabitkan dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 53 tahun yang juga ahli keluarga mangsa, ditahan bagi membantu siasatan.
“Semua suspek itu direman selama tujuh hari bermula 27 Mac (semalam) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kes ini dipercayai berjaya diselesaikan dengan penahanan semua suspek terbabit,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








