JENAYAH & MAHKAMAH

Empat sekeluarga ditemukan mati di kondominium Desa ParkCity

KUALA LUMPUR – Empat sekeluarga membabitkan pasangan suami isteri dan dua anak ditemukan mati di sebuah unit kondominium di Desa ParkCity, Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 3.32 petang selepas seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditemukan mati di bangunan kediaman berkenaan.

Menurutnya, polis kemudian ke lokasi kejadian dan berjaya membuka pintu unit berkenaan dengan bantuan pihak bomba.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga lagi individu telah meninggal dunia di dalam bilik berasingan.

“Mereka terdiri daripada seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan isteri mangsa serta dua kanak-kanak, masing-masing perempuan dan lelaki berusia sembilan dan tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa didapati mengalami kecederaan parah di bahagian leher.

Polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, Fadil berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala satu lagi siasatan dijalankan sebagai kes mati mengejut (SDR).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button