Kenyataan MB Kedah hina keputusan Mahkamah Persekutuan, Perlembagaan – AMK
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyifatkan penggunaan bahasa kesat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu premis perjudian sebagai penghinaan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Persekutuan.
Naib Ketua AMK, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, umat Islam sememangnya tidak menyokong amalan perjudian kerana ia jelas dilarang dalam Islam.
Menurutnya, pendirian menolak perjudian dan usaha membendung kemudaratan akibat amalan berkenaan merupakan sesuatu yang difahami serta dihormati.
“Namun, AMK amat kesal dengan laras bahasa kesat seperti ‘celaka’ dan ‘pelaq’ yang digunakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu premis perjudian.
“Tindakan dan caci maki tersebut hakikatnya bukan sekadar serangan ke atas Perdana Menteri, tetapi ia jelas merupakan satu penghinaan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dan kemudiannya Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, Mahkamah Persekutuan telah memuktamadkan keputusan berhubung sempadan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
Katanya, keputusan mahkamah tertinggi negara itu dibuat secara bebas tanpa campur tangan badan Eksekutif.
“Justeru, isu perundangan ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik murahan untuk menunggang sentimen dan emosi rakyat di pentas ceramah,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya Kerajaan Negeri Kedah benar-benar mahu menyelesaikan isu berkenaan, Menteri Besar sewajarnya mengambil pendekatan profesional termasuk meminta Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah menyemak semula aspek sempadan bidang kuasa serta perundangan berkaitan mengikut lunas undang-undang yang sah.
Dalam masa sama, Mohammed Taufiq menggesa Sanusi menunjukkan teladan kepimpinan Islam dengan menolak budaya politik maki hamun di hadapan khalayak yang disifatkannya boleh mencemarkan imej agama.
Sebaliknya, katanya, pemimpin perlu mempamerkan akhlak yang tinggi ketika berdebat dan mengemukakan kritikan.
“Mengkritik dan menjadi semak dan imbang adalah tugas pembangkang, namun ia wajib dilakukan berlandaskan fakta, dasar dan kewarasan akal, bukannya melalui caci maki yang menghina keputusan institusi mahkamah tertinggi dan Perlembagaan negara,” katanya.
Mohammed Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata, pendirian menolak perjudian boleh terus diperjuangkan, namun ia perlu dilakukan dalam kerangka undang-undang dan dengan menghormati institusi kehakiman serta Perlembagaan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








