Petugas forensik kutip serpihan tulang dua beranak dihempap lori tangki
KUALA LUMPUR – Petugas forensik terpaksa mengeluarkan satu persatu serpihan tulang dan tisu dipercayai milik dua beranak yang maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki dalam kemalangan tragis di Kilometer (KM) 9, Jalan Temerloh-Triang, semalam.
Menerusi video yang tular di media sosial, petugas dilihat menjalankan kerja-kerja mengeluarkan sisa tubuh mangsa yang terperangkap di celah rangka Perodua Bezza dinaiki mereka.
Proses berkenaan dilakukan dengan penuh teliti berikutan keadaan mangsa dipercayai rentung selepas kereta terbabit terbakar susulan kemalangan.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, lori tangki yang membawa muatan 32,000 liter diesel dan petrol dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Bezza berkenaan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron memaklumkan dua mangsa yang maut dipercayai wanita berusia 39 tahun dan anak lelakinya berusia 12 tahun.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada waris, kedua-dua mangsa dipercayai mempunyai hubungan ibu dan anak, namun pengesahan identiti hanya dapat dilakukan menerusi perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) waris.
BACA JUGA:
Lori tangki terbalik hempap kereta sebelum terbakar
Dua rentung dalam Perodua Bezza dihempap lori tangki
Sementara itu, suami mangsa menerusi video yang tular sebelum ini memaklumkan kira-kira 95 peratus mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu dipercayai isteri dan anak lelakinya.
“Saya nak bagitahu minta maaf sebab saya tak dapat berurusan apa-apa buat masa ini. Isteri saya baru kemalangan dan disahkan kemungkinan besar 95 peratus meninggal di tempat kejadian dengan anak saya.
“Buat masa ini, minta maaf tak boleh berurusan dan pasukan saya akan berurusan dengan kawan-kawan semua.
“Doakan saya, doakan ahli keluarga, doakan isteri dan anak saya semoga diletakkan bersama soleh dan solehah,” katanya.
Dalam pada itu, pemandu lori tangki berusia 37 tahun berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas, manakala proses pengecaman melalui ujian DNA akan dilakukan bagi mengesahkan identiti kedua-dua mangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


