Korea Utara ancam tindak balas susulan latihan ketenteraan AS-Korea Selatan
PYONGYANG – Korea Utara memberi amaran akan mengambil langkah pencegahan lebih kuat sebagai tindak balas terhadap latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan yang dijadualkan bermula Isnin ini.
Kementerian Luar Korea Utara dalam kenyataan pada Jumaat menyifatkan latihan berkenaan sebagai persiapan untuk pencerobohan dan memberi amaran Pyongyang tidak akan bertolak ansur dengan peningkatan ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea.
Latihan selama 11 hari dikenali sebagai Ulchi Freedom Shield itu akan membabitkan kira-kira 18,000 anggota tentera Korea Selatan dan 28,500 anggota tentera AS yang ditempatkan di negara berkenaan.
Latihan tahunan itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan kedua-dua negara sekutu dalam menghadapi kemungkinan ancaman daripada Korea Utara, termasuk negara terbabit yang memiliki senjata nuklear.
Jurucakap Kementerian Luar Korea Utara berkata, Pyongyang akan bertindak balas terhadap setiap ancaman baharu dengan langkah pencegahan pada tahap yang lebih tinggi.
“Prinsip kami yang konsisten dalam menjamin keselamatan adalah untuk bertindak balas terhadap setiap ancaman baharu dengan langkah pencegahan pada tahap baharu,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.
Menurutnya, latihan berkenaan membuktikan persiapan AS dan Korea Selatan untuk menghadapi konfrontasi ketenteraan sebenar dengan Pyongyang.
Korea Utara sebelum ini melancarkan peluru berpandu balistik ke Laut Jepun pada awal minggu ini, dipercayai sebagai bantahan terhadap latihan ketenteraan berkenaan.
Jurucakap itu turut mendakwa latihan tersebut mengambil kira kemungkinan berdepan anggota tentera Korea Utara yang kini mempunyai pengalaman tempur selepas dikerahkan untuk membantu pasukan Rusia dalam perang di Ukraine.
Korea Utara dilihat semakin aktif dalam konflik antarabangsa berkenaan, termasuk menerusi sokongan ketenteraan kepada Rusia dan penghantaran anggota tenteranya ke medan perang Ukraine.
Pyongyang bagaimanapun terus menegaskan latihan ketenteraan AS-Korea Selatan merupakan ancaman terhadap keselamatannya, manakala Washington dan Seoul menyifatkannya sebagai latihan defensif bagi memperkukuh kesiapsiagaan ketenteraan kedua-dua negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








