BERITA SEMASA

ISYAR 2026 platform perkukuh kewangan Islam serantau

KUALA LUMPUR – Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) 2026 menjadi platform penting dalam membincangkan isu Syariah, tadbir urus dan operasi kewangan Islam yang menjadi kepentingan bersama negara serantau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, penganjuran persidangan itu penting dalam membolehkan ulama, sarjana Syariah dan pemain industri berkongsi pandangan bagi mencari penyelesaian terhadap isu semasa kewangan Islam.

Beliau berkata, iSHAR 2026 yang memasuki edisi keenam sejak diperkenalkan pada 2015 menghimpunkan cendekiawan dan sarjana Syariah dari rantau ini termasuk Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura dan Brunei.

“iSHAR 2026 mewacanakan isu-isu semasa dan kontemporari bagi menawarkan solusi kepada permasalahan dan perkara yang berlaku dalam sektor kewangan Islam.

“Bank Rakyat telah menunjukkan satu teladan yang sangat baik dengan menganjurkan wacana intelektual yang menghimpunkan bukan hanya sarjana Syariah tetapi juga pengamal industri, pengawal selia dan mereka yang terlibat dalam industri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan iSHAR 2026 yang berlangsung di Hotel InterContinental, di sini hari ini.

Menurutnya, antara tumpuan persidangan kali ini ialah isu ketidakpatuhan Syariah dalam produk-produk yang ditawarkan dalam sektor kewangan, selain pelbagai isu kontemporari yang memerlukan penelitian sarjana dan pengamal industri.

Persidangan selama dua hari bermula 1 hingga 2 Oktober itu dianjurkan Bank Rakyat dengan kerjasama Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS), bertemakan Edisi Serantau (Regional Edition).

Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 180 peserta termasuk 43 cendekiawan dan sarjana Syariah dalam bidang kewangan Islam.

Antara isu yang dibincangkan termasuk pengaplikasian Al-Ijarah Thumma Al-Bay’ (AITAB), ketidakpatuhan Syariah dalam kontrak Tawarruq, Ijarah, Musyarakah dan Mudarabah serta struktur wakaf tunai dalam perbankan Islam.

Turut dibincangkan ialah aplikasi jual beli hak tidak ketara melalui Mawsuf fi al-Dhimmah serta isu Syariah dan operasi berkaitan amalan Ar-Rahnu.

Penganjuran iSHAR 2026 turut melibatkan wakil Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti serta institusi kewangan dan akademik dari rantau ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button