BISNES & EKONOMI

Shoraka meterai usaha sama strategik bangunkan teknologi kewangan Islam di Uzbekistan

TASHKENT – Syarikat teknologi kewangan (fintech), Shoraka mengumumkan pembentukan usaha sama strategik dengan syarikat berpangkalan di Uzbekistan, Raqama Ltd. bagi memperluaskan penyelesaian fintech berasaskan prinsip kewangan Islam di negara Asia Tengah itu.

Kerjasama tersebut disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh pembangunan penyelesaian kewangan digital yang selamat, berskala dan patuh Syariah bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang terhadap kewangan Islam.

shoraka
Kerjasama tersebut disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh pembangunan penyelesaian kewangan digital yang selamat, berskala dan patuh Syariah.

Menerusi usaha sama itu, kedua-dua pihak akan meneroka pembangunan produk dan perkhidmatan kewangan Islam di Uzbekistan termasuk memperkenalkan penyelesaian fintech patuh Syariah untuk pengguna serta perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Shoraka, Datuk Hasnul Ismar Mohd Hasnul Ismail berkata, kerjasama tersebut membuka peluang kepada syarikat itu untuk terus memperluaskan ekosistem kewangan digital yang lebih inklusif dan berteraskan nilai Islam.

“Melalui langkah ini, kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami untuk meneroka penyelesaian teknologi kewangan praktikal yang dapat menyokong minat yang semakin berkembang terhadap kewangan Islam di Uzbekistan dan rantau lebih luas,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Raqama Ltd., Saidbek Saidkarimov berkata, pihaknya optimis kerjasama tersebut mampu memperkukuh landskap fintech di Uzbekistan selain menyokong peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kewangan Islam di negara berkenaan.

“Usaha sama ini bukan sahaja akan mengukuhkan landskap teknologi kewangan kami, malah turut menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap kewangan Islam di pasaran kami,” katanya.

shoraka
Kementerian Teknologi Digital Uzbekistan.

Dalam perkembangan sama, wakil Shoraka turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Teknologi Digital Uzbekistan, Rustam Karimjanov semasa lawatan kerja ke rantau tersebut.

Pertemuan itu antara lain membincangkan pembangunan platform kewangan inovatif bagi memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan digital menerusi penyelesaian teknologi yang selamat, cekap dan mesra pengguna untuk sektor perniagaan serta pengguna awam.

Uzbekistan kini dilihat antara pasaran yang semakin memberi perhatian terhadap pembangunan kewangan Islam sejajar usaha negara itu memperkukuh ekonomi digital dan menarik pelaburan antarabangsa dalam sektor teknologi kewangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button