BERITA SEMASA

Laman web KKM pulih, kerajaan teliti keselamatan data rakyat – Fahmi

BATU PAHAT – Kerajaan akan meneliti aspek keselamatan siber secara menyeluruh bagi memastikan data rakyat Malaysia terus terjamin susulan insiden serangan siber yang menjejaskan laman web rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau telah meneliti laporan berhubung insiden tersebut termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Setakat ini laman web KKM yang terjejas dilaporkan telah kembali beroperasi seperti biasa.

“Saya ada membaca laporan dan juga meneliti kenyataan yang dibuat oleh NACSA mengenai insiden tersebut.

“Pada masa sama, kerajaan akan meneliti dan memastikan keselamatan data rakyat Malaysia kekal terjamin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Parit Kemang di Parit Botak, Senggarang hari ini.

Fahmi turut berkata, beliau belum berhubung dengan pihak NACSA bagi mendapatkan maklumat lanjut sama ada terdapat laman web kementerian lain yang turut terkesan akibat serangan siber berkenaan.

“Saya belum lagi berhubung dengan pihak NACSA untuk mengenal pasti sekiranya ada mana-mana laman web lain daripada kementerian lain yang turut mengalami penggodaman,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai status laman web KKM, beliau mengesahkan sistem berkenaan telah kembali pulih.

“Ya, itu yang setakat ini difahamkan,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan laman web rasmi KKM menjadi sasaran serangan siber pada awal pagi Sabtu yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan penggodam dikenali sebagai Mushroow.

NACSA dalam kenyataannya mengesahkan insiden tersebut turut menjejaskan beberapa laman web agensi kerajaan lain termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Jabatan Pembangunan Wanita.

Menurut agensi itu, siasatan awal mendapati serangan berkenaan berpunca daripada kelemahan pada sambungan penyunting kandungan dalam sistem pengurusan kandungan (CMS) Joomla yang digunakan beberapa laman web kerajaan.

Kelemahan tersebut dipercayai membolehkan pihak tidak bertanggungjawab memperoleh akses kepada pelayan web serta mewujudkan akses belakang (backdoor) yang boleh digunakan untuk pencerobohan berterusan.

NACSA turut memaklumkan keadaan itu berpotensi membawa kepada pelbagai risiko keselamatan siber termasuk kecurian data, pengubahsuaian kandungan laman web, pergerakan lateral dalam rangkaian serta pengambilalihan penuh sistem sekiranya tidak ditangani dengan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button