Penyedia perkhidmatan telekomunikasi diarah tingkat kualiti liputan di kawasan DUN Ayer Kuning
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan segera mengenai masalah liputan Internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di 27 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
MCMC berkata, beberapa langkah proaktif telah diambil oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memastikan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan DUN Ayer Kuning dan lokasi tumpuan Pilihan Raya Kecil (PRK) berada pada tahap memuaskan.
Jelas MCMC, beberapa lokasi telah dikenal pasti sebagai kawasan keutamaan, termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka Tapah, 21 Pusat Mengundi di sekitar DUN Ayer Kuning, Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor.
“Setakat pukul 6 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan iaitu CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan tindakan terkini yang ditambah baik kepada MCMC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil
mengarahkan semua syarikat telekomunikasi untuk mengemukakan penyelesaian terhadap masalah capaian Internet lemah di seluruh negara, atau berdepan tindakan tegas.
MCMC menambah, antara inisiatif penambahbaikan yang telah dirancang termasuk pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara dan perkongsian infrastruktur antara
penyedia perkhidmatan.
Selain itu, MCMC berkata, Kaunter Aduan MCMC turut dibuka di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang, Tapah dari 12 hingga 26 April ini bagi mendekati masyarakat setempat.
Kaunter tersebut beroperasi setiap hari bermula pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam bagi menerima sebarang aduan berkaitan telekomunikasi, pos, dan isu lain di bawah bidang kuasa MCMC.
“MCMC akan terus memantau prestasi liputan secara harian dan akan menyampaikan sebarang aduan baharu terus kepada penyedia perkhidmatan
untuk tindakan segera.
“Sebarang kelewatan atau ketidakpatuhan terhadap arah ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang terpakai,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








