Syarikat berdepan ancaman siber berskala ‘industri’, VIDA lancar penyelesaian anti-penipuan baharu
BANGKOK : Rangkaian identiti digital terkemuka di Indonesia, VIDA memberi amaran mengenai ancaman penipuan siber yang semakin meluas dan kompleks terutama dalam industri teknologi kewangan (fintech) di Asia Tenggara.
Pendedahan VIDA mengenai peningkatan aktiviti penipuan secara dalam talian (scam) yang kini berskala ‘industri’ itu memerlukan pendekatan keselamatan yang lebih maju.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif VIDA, Niki Luhur berkata, landskap penipuan siber kini berkembang daripada operasi kecil kepada sindiket rentas sempadan melibatkan beberapa negara termasuk Myanmar, Thailand dan Indonesia.
Menurut beliau, penjenayah siber tidak lagi menyasarkan institusi tertentu, sebaliknya mengeksploitasi kelemahan sistem digital yang boleh diulang dan diperluaskan merentas pelbagai platform.
“Jenayah siber tidak memilih sasaran, sebaliknya mengesan dan mengeksploitasi setiap kelemahan yang wujud,” katanya dalam kenyataan sempena persidangan Money20/20 Asia 2026 yang berlangsung di Bangkok, baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun teknologi pemalsuan wajah (deepfake) sering menjadi perhatian, ancaman sebenar lebih tertumpu kepada rantaian serangan seperti serangan suntikan (injection attacks), khususnya melalui peranti yang telah dikompromi.
Sehubungan itu, VIDA mencadangkan pendekatan keselamatan berlapis melibatkan tiga komponen utama iaitu pengesahan biometrik individu, pengesahan identiti melalui pangkalan data rasmi serta pengesahan peranti.
Sebagai langkah pencegahan lebih maju, VIDA melancarkan ID FraudShield, iaitu penyelesaian pengesanan penipuan yang menggabungkan analisis biometrik, kecerdasan peranti, corak tingkah laku serta pemantauan rangkaian bagi mengesan ancaman yang tidak dapat dikenal pasti melalui kaedah tradisional.
“Teknologi ini dibangunkan dalam bentuk kit pembangunan perisian (SDK) bagi membolehkan integrasi pantas dalam sistem kewangan digital sedia ada.
“Ia direka untuk satu tujuan: membongkar penipuan yang tidak dapat dikesan oleh ciri keaslian semata-mata,” katanya.
Ditubuhkan pada 2018, VIDA merupakan pihak berkuasa pensijilan berlesen di Indonesia yang menyediakan perkhidmatan identiti digital merangkumi tandatangan digital, pengesahan identiti serta transaksi, selaras piawaian keselamatan global termasuk Infrastruktur Kunci Awam (PKI).
Syarikat itu kini mengesahkan lebih 2.5 juta identiti setiap hari, mencerminkan peningkatan keperluan terhadap penyelesaian keselamatan digital dalam era ekonomi berasaskan teknologi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






