Program Advokasi dan Jangkauan untuk Kampung Orang Asli Negeri Sembilan dinobat juara WSIS 2024
PUTRAJAYA – Program Advokasi dan Jangkauan untuk Kampung Orang Asli Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah World Summit On The Information Society Prizes 2024 (WSIS 2024).
Program berkenaan merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan, Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan Negeri Sembilan.
Menurut MCMC, anugerah itu dimenangi bagi lima Action Lines Kategori lima iaitu Membina Keyakinan dan Keselamatan dalam Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
“Kejayaan inisiatif MCMC meraih Anugerah WSIS membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap projek yang telah dibangunkan oleh MCMC dalam memperkasakan keterangkuman digital dalam kalangan masyarakat Orang Asli melalui penyediaan akses ICT serta keselamatan dan literasi digital.
“Program ini yang telah bermula sejak tahun 2023 memberi fokus kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak, remaja dan ibu bapa dalam kalangan masyarakat Orang Asli terhadap amalan terbaik melayari internet,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, anugerah itu akan disampaikan pada Majlis Anugerah WSIS Prizes 2024 anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, Switzerland pada 30 Mei ini.
WSIS Prizes adalah satu pertandingan antarabangsa yang dibangunkan bagi menilai dan mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan ICT sebagai pemangkin kepada pembangunan.
Selain itu, ia juga merupakan satu platform untuk mengenal pasti dan mempamerkan kisah-kisah kejayaan dan suri teladan yang boleh dicontohi, untuk menghargai usaha pihak-pihak berkepentingan atas komitmen mereka serta nilai tambah yang diberikan kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat WSIS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








