Teknologi 5G Broadcast perlu masa, kerajaan komited sedia infrastruktur – Fahmi
PUTRAJAYA – Teknologi Penyiaran 5G (5G Broadcast) dijangka mula dimanfaatkan secara lebih meluas dalam tempoh beberapa tahun akan datang apabila ia mencapai tahap kematangan serta disokong oleh generasi baharu peranti mudah alih.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, secara umumnya teknologi itu masih baharu kerana memerlukan pemasangan cipset khusus dalam peranti mudah alih.
“Paling awal pun, negara-negara di Eropah menjangkakan sekitar tahun 2027 untuk penggunaan teknologi ini. Mungkin hanya dalam dua atau tiga generasi telefon pintar akan datang, barulah kita dapat melihat manfaat sepenuhnya,” katanya.
Baca juga : Malaysia terajui ASEAN dalam penerokaan teknologi 5G Broadcast
Fahmi berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan 5G Broadcast anjuran MCMC, yang turut dihadiri timbalannya, Teo Nie Ching di sini, hari ini.
5G Broadcast ialah teknologi penyiaran generasi baharu yang membolehkan kandungan televisyen dan radio dihantar terus ke peranti tanpa memerlukan kad SIM, pelan data mudah alih atau Wi-Fi.
Teknologi tersebut dibangunkan berasaskan 5G Terrestrial Broadcast berasaskan LTE yang direka khusus untuk penyiaran kandungan secara terestrial dan boleh beroperasi dalam mod siaran kendiri.
Sementara itu, Fahmi menekankan kepentingan bagi Malaysia untuk menjalankan penyelidikan, kajian serta memahami perkembangan teknologi berkenaan.
Usaha tersebut katanya, boleh dilaksanakan dengan menjemput rakan-rakan dari rantau ASEAN bagi membincangkan hala tuju serta masa depan sektor penyiaran serantau.
Jelas Fahmi lagi, kerajaan bersama agensi berkaitan termasuk RTM sudah bersedia meneroka teknologi tersebut dan melihat potensinya untuk dimanfaatkan dalam acara besar negara.
“Sebagai contoh, sewaktu sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini, sekiranya kita ada teknologi 5G Broadcast, bukan sahaja penonton di rumah dapat menyaksikan siaran, malah mereka yang berada di lokasi juga boleh menikmati pengalaman menonton dari pelbagai sudut berbeza secara langsung.
“Kita harapkan dalam beberapa tahun lagi, khususnya pada sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya, teknologi seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








