Malaysia kekal pendirian berkecuali, nafi campur tangan isu sempadan Thailand–Kemboja – Fahmi
KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya sebagai negara berkecuali di tengah-tengah ketegangan geopolitik serantau, selepas timbul dakwaan tidak berasas bahawa Kuala Lumpur campur tangan dalam pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Malaysia tidak pernah mengambil peranan sebagai pihak yang membuat keputusan dalam isu berkenaan, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai fasilitator atas permintaan kedua-dua negara.
“Seorang fasilitator berperanan sebagai orang tengah bagi pihak-pihak yang berkonflik dan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi antara satu sama lain.
“Kedua-dua pihak meminta Malaysia sebagai Pengerusi Asean untuk membantu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Seminar Kesedaran Penipuan Siber untuk komuniti India di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, peranan Malaysia itu telah dimaklumkan kepada kabinet sejak awal, sekali gus menolak dakwaan bahawa negara mencampuri urusan dalaman mana-mana negara jiran.
“Tuduhan sedemikian tidak wajar dan tidak betul. Kumpulan dari Thailand yang membuat dakwaan itu tidak mewakili kerajaan Thailand. Sama ada mereka mempunyai motif atau agenda tersendiri, itu urusan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, semua syarat dan keputusan berkaitan rundingan ditentukan sendiri oleh Thailand dan Kemboja, termasuk ketika gencatan senjata di Kuala Lumpur serta pemeteraian perjanjian damai yang turut disaksikan Amerika Syarikat.
“Malaysia tidak campur tangan dalam mana-mana perjanjian ini,” katanya sambil menegaskan negara mengekalkan hubungan seimbang dengan semua kuasa besar termasuk China dan Amerika Syarikat.
“Kita tidak memihak mana-mana kuasa geopolitik berdasarkan prinsip ini, Malaysia berkecuali dan diminta untuk membantu oleh kedua-dua negara berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak di Thailand yang menuduh beliau campur tangan dalam urusan negara itu, sambil menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas dan dibuat tanpa memahami peranan Malaysia sebagai fasilitator.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








