PM terima Anugerah Kepimpinan Global, tekad perkukuh peranan kewangan Islam
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus memperkukuh peranan kewangan Islam sebagai instrumen penting dalam menyokong matlamat pembangunan mampan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kekuatan kewangan Islam terletak pada prinsip keadilan, perkongsian risiko serta penolakan eksploitasi, sekali gus menjadikan ia kerangka ekonomi yang mampu memberi manfaat melangkaui sempadan agama dan budaya.
Justeru katanya, kepimpinan serta pemain industri kewangan perlu berpegang kepada nilai etika dan prinsip luhur agar mampu melaksanakan visi pembangunan masa depan yang lebih adil dan beretika.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2025 di ibu negara hari ini yang menyaksikan beliau diberikan Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global, disampaikan oleh Pengerusi Cambridge Institute of Islamic Finance, Humayon Dar.

Anwar menyifatkan penghargaan itu bukan kejayaan peribadi, sebaliknya pengiktirafan terhadap usaha kolektif pelbagai pihak yang telah berkhidmat, berkorban serta menunjukkan dedikasi dalam memperkukuh institusi kewangan Islam negara.
“Apa jua sumbangan kecil yang saya lakukan, pengiktirafan ini sebenarnya milik mereka yang telah berkhidmat jauh lebih besar daripada saya,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa sokongan rakan kongsi global menjadi bukti kekuatan kewangan Islam, khususnya apabila dibangunkan atas dasar kerjasama dan nilai hormat.
Tambah beliau, institusi kewangan kini harus dilihat sebagai sebahagian daripada kerangka ekonomi atau maqasid yang merangkumi belas kasihan, keterangkuman dan keadilan sosial.
GIFA merupakan antara anugerah kewangan Islam paling berprestij yang mengiktiraf peranan pemimpin dunia dalam memajukan sektor kewangan Islam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








