[VIDEO] Setengah tahun menunggu kes suntikan jarum, Rafizi sedia untuk ‘tutup’ kes?
KUALA LUMPUR – Selepas hampir setengah tahun menantikan perkembangan kes suntikan jarum terhadap anaknya, bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil menyatakan kekecewaan terhadap perkembangan siasatan dan tidak menolak kemungkinan akan meminta supaya kes itu ditutup (NFA).
Rafizi mendedahkan bahawa insiden serangan terhadap anaknya serta ugutan terhadap isterinya pada Ogos tahun lalu itu dipercayai bertujuan menakut-nakutkannya agar menghentikan kenyataan terbuka yang dibuat sebelum ini.
Menurut beliau, sejak kejadian tersebut, dirinya memilih untuk tidak menulis sebarang surat atau membuat pertanyaan terbuka mengenai perkembangan siasatan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab menyelia Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, hubungan persahabatan lama dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang dikenalinya sejak 1998, menjadi asas kepercayaan untuk menyerahkan amanah berkenaan tanpa sebarang campur tangan lanjut.
Bagaimanapun, Rafizi mendakwa beliau tidak pernah menerima sebarang maklum balas rasmi atau tidak rasmi berkaitan siasatan, sebaliknya hanya mengetahui perkembangan kes melalui laporan media, sama seperti orang awam.
“Satu pertemuan telah diadakan dengan Saifuddin di Parlimen pada 1 Disember 2025 yang berlangsung lebih sejam dan menyentuh pelbagai perkara, termasuk beberapa perkembangan serta sudut siasatan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan bertulis dan rakaman video hari ini.
Susulan pertemuan itu, Rafizi mengemukakan soalan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan pengesahan rasmi terhadap maklumat yang telah dikongsikan kepadanya.
“Menteri memberikan jawapan berbentuk ‘pentadbiran’ (umum) dengan alasan tidak boleh mendedahkan butiran kerana boleh menjejaskan siasatan, dan saya memahami perkara itu,” katanya.
@malaysiatribune Selepas hampir setengah tahun menantikan perkembangan kes suntikan jarum terhadap anaknya, bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan kekecewaan dan mahu kes itu ditutup. #trendingnewsmalaysia #beritatiktok #beritasemasa #malaysiatribune rafiziramli suntikanjarum aids
Beliau bagaimanapun berkata, jawapan tersebut mengesahkan dua perkara penting, iaitu pertemuan berkenaan sememangnya berlaku dan wujud perkongsian maklumat berkaitan perkembangan serta sudut siasatan, walaupun tidak boleh didedahkan kepada umum.
Rafizi turut mengakui kekangan dalam sistem siasatan, khususnya apabila melibatkan kes berprofil sensitif, yang menurutnya berpotensi berlarutan lama atau menjadi senyap apabila perhatian awam berkurangan.
Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menulis surat kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan PDRM sekiranya mendapati siasatan tidak menunjukkan sebarang kemajuan, termasuk mencadangkan supaya kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Nanti saya tunggu lagi, kalau dirasakan siasatan tak ke mana, saya sendiri akan tulis surat kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan PDRM mengusulkan supaya siasatan dihentikan dan NFA saja kes ini. Jangan buang masa anggota polis kat bawah yang hanya menurut perintah.
“Apa yang dah jadi tu dah jadi. Saya redha dan Insya Allah, kami sekeluarga lebih yakin dengan doa dari bergantung kepada budi bicara manusia, agar perkara sebegini tidak akan berulang lagi kepada sesiapa pun di negara ini,” ujarnya.
Menurut Rafizi, tanggungjawab untuk mempertahankan reputasi dan menjawab kepada rakyat kelak bukan terletak pada keluarganya, sebaliknya di bahu kepimpinan tertinggi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















