Percanggahan idealisme, Rafizi perlu lebih beradap salur pandangan – ADUN Kajang
KUALA LUMPUR – Kritikan terbuka dan percanggahan idealisme yang dizahirkan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Rafizi Ramli di media sosial berpotensi menghakis kesatuan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong Kian Young menegaskan, tindakan menyalurkan teguran secara terbuka tanpa melalui mekanisme dalaman parti boleh menimbulkan persepsi negatif, sekali gus memberi gambaran bahawa wujud ketidaksefahaman dalam kepimpinan.
Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Biro Perpaduan Nasional PKR Selangor, setiap perbezaan pandangan seharusnya diurus secara tertib dan berdisiplin, bukannya didorong kepentingan peribadi.
“Dalam parti, teguran yang jujur bukanlah satu bentuk penderhakaan, sebaliknya mencerminkan kecintaan terhadap perjuangan. Namun, ia perlu disampaikan melalui saluran dalaman yang beradab.
“Sungguhpun terdapat percanggahan idealisme, kesetiaan kepada parti mesti diutamakan. Pemimpin datang dan pergi, tetapi institusi parti perlu kekal kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berpandangan, perbezaan yang diluahkan secara terbuka tanpa proses musyawarah sewajarnya boleh menimbulkan tanggapan bahawa ego mengatasi rasional.
Sedangkan politik matang, katanya, menuntut disiplin organisasi, penerimaan terhadap keputusan kolektif serta kebijaksanaan membezakan antara kepentingan peribadi dan kepentingan bersama.
Dalam konteks politik semasa yang memerlukan kestabilan pasaran, keyakinan pelabur dan keutuhan kerajaan perpaduan, David berkata, sebarang kenyataan yang boleh ditafsir sebagai percanggahan terbuka hanya akan membuka ruang kepada pihak yang mahu melihat kerajaan gagal.
“Rakyat tidak mahu melihat persaingan dalaman. Mereka mahukan penyelesaian terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan dan tadbir urus yang bersih.
“Jika ada perbezaan dasar atau strategi, bawalah ke meja rundingan parti dan Kabinet. Bentangkan hujah dengan data serta cadangan alternatif yang membina dan hormati keputusan bersama walaupun tidak semua kehendak peribadi dipenuhi,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh pimpinan dan anggota PKR kembali kepada asas perjuangan parti berteraskan integriti, keadilan dan khidmat kepada rakyat.
“Jangan biarkan ego mengatasi rasional sehingga menjejaskan amanah yang telah diberikan oleh rakyat,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








