POLITIK

Wanita PKR perlu berhenti ratapi kekalahan PH, turun padang dekati pengundi – Fadhlina

AYER KEROH – Wanita PKR perlu segera bangkit dan berhenti meratapi kekecewaan susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, sayap parti itu perlu kembali turun padang untuk mendampingi pengundi, khususnya wanita di seluruh negara.

Menurutnya, gerak kerja berkenaan perlu dimulakan sebaik sahaja Kongres Nasional PKR 2026 berakhir Ahad ini.

“Mulai Isnin ini, balik saja daripada kongres, kita kena ketuk setiap pintu rumah.

“Kembalikan peranan kita di akar umbi sebagai jurucakap wanita dan tumpukan kepada pengundi wanita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita PKR pada Kongres Nasional Wanita 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Fadhlina berkata, golongan wanita perlu menjadi tumpuan utama gerak kerja politik parti kerana isu kehidupan harian mereka berkait rapat dengan kebajikan keluarga.

“Dapur wanita adalah tempat paling penting untuk melakukan kerja politik. Mulakan dengan dapur wanita.

“Tanya mereka, beras ada tidak hari ini, gula, garam cukup atau tidak, anak makan sehari berapa kali,” katanya lagi.

Beliau berkata, pendekatan turun padang itu penting bagi mengembalikan kepercayaan pengundi wanita terhadap PKR dan PH.

“PRN akan datang khususnya di Melaka dan Sarawak amat penting bagi memastikan kelangsungan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Melaka sangat penting untuk kita. Harus lakukan gerak kerja yang sama, turunkan semua hulubalang terbaik kita.

“Teruskan latihan dan untuk Sarawak, mesti susun dari sekarang,” katanya lagi.

Menurutnya, kekalahan dalam pilihan raya sebelum ini perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuh organisasi serta meningkatkan persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita tahu perasaan kalah, sedih dan marah. Jadi, kita mesti kembali perkuat organisasi, perkukuh latihan pilihan raya dan beli jiwa wanita satu Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, Fadhlina mahu PKR memberi lebih banyak peluang kepada wanita untuk diketengahkan sebagai calon pilihan raya.

“Kita masuk pilihan raya mesti letakkan calon wanita. Walau apa pun cabarannya, calon wanita mesti ada.

“Saya nak 30 peratus wanita,” katanya lagi.

Beliau berkata, PKR perlu mula mengenal pasti, mempersiapkan dan menonjolkan pemimpin wanita yang mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai calon pilihan raya.

“Sekarang adalah masa untuk kita menampilkan pemimpin yang mempunyai kriteria menjadi seorang calon pilihan raya. Kita kena persiapkan dan tonjolkan mereka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button