LUAR NEGARA

Trump beri kuasa syarikat swasta lancar serangan siber

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam menandatangani memorandum keselamatan negara yang memberi ruang kepada syarikat swasta menjalankan operasi siber ofensif terhadap entiti jenayah asing.

Memorandum yang ditandatangani itu membenarkan pentadbiran Trump memanfaatkan keupayaan dan inovasi sektor swasta bagi membantu menjalankan operasi siber di bawah arahan, kawalan dan kuasa kerajaan AS.

Menurut Rumah Putih, langkah berkenaan membolehkan syarikat swasta memainkan peranan yang sebelum ini secara tradisi hanya dilakukan agensi kerajaan dalam usaha membanteras jenayah siber.

Bagaimanapun, memorandum itu tidak memberikan kebebasan mutlak kepada syarikat terbabit untuk melakukan aktiviti penggodaman, sebaliknya membenarkan ‘operasi siber terhad’ berdasarkan arahan kerajaan AS.

“Langkah berkenaan dibuat ketika kebimbangan antarabangsa terhadap ancaman serangan siber semakin meningkat, khususnya susulan kemunculan model kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkuasa dan berupaya mengeksploitasi sistem keselamatan yang ketinggalan zaman,” lapor The Guardian.

Awal tahun ini, penggodam turut menyasarkan sistem infrastruktur kritikal di beberapa negeri AS, termasuk kemudahan bekalan air sehingga menyebabkan gangguan operasi.

Memetik kenyataan Rumah Putih, dasar baharu itu memberi tumpuan kepada ancaman termasuk serangan ransomware, penipuan kewangan dan jenayah lain yang dilakukan organisasi jenayah rentas negara.

Menerusi memorandum itu, syarikat swasta digalakkan menjalinkan kerjasama dengan entiti swasta lain serta agensi persekutuan, negeri, tempatan, suku kaum dan wilayah bagi mengumpul maklumat ancaman berkaitan organisasi jenayah rentas negara.

Maklumat berkenaan kemudiannya boleh digunakan untuk mencadangkan operasi siber bagi menangani ancaman tersebut.

“Memorandum itu turut mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), melalui pusat penyelarasan nasional pasukan petugas keselamatan dalam negeri, mewujudkan program bagi menjalankan operasi siber tertentu untuk mengganggu kegiatan organisasi jenayah rentas negara.

“Program berkenaan akan diselia DHS bersama Jabatan Kehakiman,” kata kenyataan itu.

Syarikat yang mengambil bahagian dan telah melalui proses tapisan kerajaan boleh menjalankan operasi pengawasan siber serta operasi kesan siber terhadap sasaran yang ditetapkan.

Namun, langkah berkenaan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan pakar undang-undang mengenai risiko yang mungkin dihadapi syarikat swasta apabila mereka terlibat secara langsung dalam konflik siber antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button