BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump ramal New York bakal ‘hancur’ di bawah pentadbiran Mamdani yang dilabel komunis

MIAMI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengandaikan bandar raya New York bakal ‘hancur’ di bawah pentadbiran Datuk Bandar baharu, Zohran Mamdani, yang dilabelnya sebagai seorang komunis.

Walau bagaimanapun, dalam nada yang lebih sederhana berbanding kenyataan sebelum ini, Trump turut menyatakan kesediaannya untuk memberikan bantuan persekutuan secara terhad kepada bandar itu bagi memastikan ia terus berdaya maju.

Bercakap pada forum ekonomi America Business Forum di Miami semalam, Trump mengulangi kecamannya terhadap ideologi politik Mamdani tetapi menegaskan beliau tidak mahu melihat New York gagal.

“Golongan komunis, Marxis dan globalis telah diberi peluang sebelum ini dan mereka hanya membawa kehancuran. Sekarang kita lihat pula bagaimana seorang komunis mentadbir New York,” katanya.

“Kita akan lihat bagaimana hasilnya nanti. Kita tetap akan bantu mereka sedikit…sebab kita mahu New York berjaya,” tambahnya.

Kenyataan itu menunjukkan perubahan ketara daripada amaran Trump pada minggu lalu yang menyebut beliau akan menyekat hampir semua dana persekutuan sekiranya Mamdani menang pilihan raya Datuk Bandar.

Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump ketika itu mendakwa kemenangan Mamdani akan membawa “kehancuran sepenuhnya” kepada New York dan berikrar tidak akan “menghantar wang untuk urus tadbir yang buruk.”

Namun, selepas kemenangan besar Mamdani pada Selasa, Trump dilihat mengendurkan pendiriannya, walaupun terus menuduh kemenangan itu sebagai bukti peralihan Parti Demokrat ke arah fahaman kiri melampau.

“Jika mahu tahu apa yang dirancang Demokrat untuk Amerika, lihat sahaja pilihan raya di New York semalam, mereka kini melantik seorang komunis sebagai Datuk Bandar bandar terbesar di negara ini,” katanya.

Trump menutup ucapannya dengan sindiran pedas:

“Dulu saya kata Amerika tidak akan ada ahli politik sosialis. Tapi nampaknya kita terus melangkah daripada sosialis, kita lantik komunis terus.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button