Trump ugut gantung syarikat penyiaran siar berita negatif tentang dirinya
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menyarankan agar saluran televisyen yang menyiarkan liputan negatif terhadap dirinya berdepan tindakan termasuk kemungkinan pembatalan lesen.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau dalam penerbangan pulang dari lawatan negara ke United Kingdom dengan pesawat rasmi Air Force One, semalam.
Trump mendakwa media arus perdana di negara itu kini memberikan 97 peratus liputan negatif terhadapnya, satu angka yang dipetik tanpa sebarang bukti.
“Walaupun 97 peratus negatif, saya masih menang. Mereka hanya beri saya publisiti buruk. Mereka mendapat lesen, jadi mungkin lesen mereka patut ditarik,” katanya.
Bagaimanapun, dakwaan Trump berhubung lesen penyiaran itu tidak tepat.
Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) menjelaskan ia tidak melesenkan rangkaian besar seperti ABC, CBS, NBC atau Fox sebaliknya hanya menguruskan lesen untuk stesen penyiaran tempatan.
Dalam kenyataan sama, Trump menyokong tindakan ABC menggantung rancangan lewat malam yang dihoskan oleh Jimmy Kimmel.
Beliau menyifatkan Kimmel sebagai ‘tidak berbakat’ dan memiliki rating yang teruk.
“Dia dipecat kerana rating teruk dan kerana kata-kata buruk tentang Charlie Kirk, seorang lelaki hebat. Mereka sepatutnya memecatnya sejak dahulu lagi,” katanya.
Sementara itu, bekas Presiden Barack Obama mengecam tindakan pentadbiran Trump yang disifatkannya sebagai ‘berbahaya’.
Menurut beliau, ugutan campur tangan kerajaan terhadap syarikat media kerana liputan tidak memihak adalah satu bentuk penindasan kebebasan media.
Kontroversi bermula selepas Kimmel, dalam siaran terbarunya, mendakwa sebahagian penyokong gerakan Maga cuba meraih keuntungan politik daripada pembunuhan aktivis konservatif Charlie Kirk.
Sejurus selepas itu, pengerusi FCC, Brendan Carr, mengutuk kenyataan tersebut sebagai ‘amat menjijikkan’, malah memberi isyarat ABC mungkin berdepan tindakan penguatkuasaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








