Pesawat KLM berpatah balik selepas power bank terbakar di Atlantik
AMSTERDAM – Sebuah pesawat KLM yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Curaçao terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Schiphol selepas sebuah power bank terbakar ketika pesawat berada di ruang udara Lautan Atlantik, Khamis lalu.
Penerbangan KL735 itu dilaporkan sudah berada kira-kira lima setengah jam di udara apabila power bank berkenaan mengeluarkan asap sebelum terbakar di kabin kelas perniagaan.
Kru kabin berjaya memadamkan kebakaran berkenaan, namun juruterbang kemudian mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Amsterdam sebagai langkah berjaga-jaga. Pesawat berkenaan selamat mendarat di Schiphol pada pukul 8.40 malam waktu tempatan.
Lebih mengejutkan, beberapa media Belanda melaporkan power bank itu dipercayai milik bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KLM, Camiel Eurlings.
Menurut laporan yang memetik penumpang serta sumber RTL Nieuws, Eurlings dipercayai sedang mengecas power bank tersebut ketika kejadian berlaku.
Saksi mendakwa mendengar bunyi letupan kuat sebelum api marak berhampiran tempat duduk berkenaan.
Seorang penumpang dilaporkan mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, KLM tidak mengesahkan identiti pemilik power bank berkenaan atas alasan privasi penumpang, lapor NL Times.
KLM melarang penumpang menggunakan atau mengecas power bank ketika penerbangan, walaupun peranti itu dibenarkan dibawa ke dalam pesawat tertakluk kepada syarat keselamatan ditetapkan.
Insiden itu menyebabkan penumpang penerbangan berkenaan terpaksa meneruskan perjalanan ke Curaçao pada penerbangan lain selepas pesawat asal kembali ke Amsterdam.
Pada Ogos 2025, sebuah penerbangan menuju São Paulo turut kembali ke Amsterdam selepas power bank terbakar di dalam ruang simpanan atas kepala pesawat syarikat penerbangan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








