Bom buatan sendiri meletup berhampiran lokasi Presiden Marcos berucap
MANILA – Sebuah bom buatan sendiri meletup berhampiran pintu masuk Kementerian Kehakiman Filipina awal pagi ini, beberapa jam sebelum satu lagi objek disyaki bahan letupan ditemui berhampiran bangunan Senat negara itu.
Bagaimanapun, letupan yang berlaku sejurus selepas tengah malam itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Kedua-dua insiden berlaku hanya beberapa jam sebelum Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dijadual menyampaikan Ucapan Tahunan Negara (SONA) yang mencetus kebimbangan terhadap aspek keselamatan.
Ketua Polis Filipina, Jeneral Jose Melencio Nartatez Jr berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua kejadian itu mempunyai kaitan.
“Kemungkinan besar kedua-dua insiden ini saling berkaitan. Walaupun kami telah membuat persediaan menghadapi ancaman bom dan serangan letupan, satu bahan letupan telah meletup di hadapan Kementerian Kehakiman,” katanya.
Jurucakap Polis Manila, Philipp Ines berkata, siasatan masih dijalankan dan pihak berkuasa belum dapat mengesahkan kekuatan letupan tersebut.
Rakaman yang dikongsi media tempatan menunjukkan cermin hadapan sebuah kenderaan retak akibat letupan, selain serpihan kecil bertaburan di lokasi kejadian.
Dalam insiden berasingan, satu objek mencurigakan ditemui di sebatang jalan berhampiran bangunan Senat kira-kira pukul 8.30 pagi oleh seorang pemandu trak tunda sebelum memaklumkannya kepada anggota keselamatan.
Pasukan pemusnah bom kemudian mengalihkan bahan berkenaan yang mengandungi komponen seperti peledak, jam dan sebuah balang berisi serbuk berwarna perang untuk dianalisis.
Sementara itu, jurucakap polis wilayah, Hazel Asilo enggan mengulas mengenai kekuatan letupan yang mungkin dihasilkan oleh peranti tersebut.
Ucapan tahunan Marcos berlangsung ketika Filipina berdepan ketegangan politik susulan perbicaraan pemecatan Naib Presiden Sara Duterte, selain kemarahan rakyat terhadap skandal rasuah yang dikaitkan dengan projek kawalan banjir palsu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















