Ed Sheeran bersuara mengenai kemusnahan di Gaza
PHILADELPHIA – Susulan kontroversi membabitkan penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Macklemore yang digugurkan daripada jelajahnya, penyanyi Britain, Ed Sheeran tampil menyuarakan pandangannya mengenai keadaan di Gaza yang disifatkannya sebagai “malapetaka dan tidak boleh diterima”.
Ketika mengadakan konsert di Philadelphia, kelmarin, Sheeran berkata kemusnahan serta kehilangan nyawa orang awam dan kanak-kanak di Gaza amat menyedihkan.
“Apa yang berlaku di Gaza adalah malapetaka, tidak boleh diterima dan tidak seimbang. Hati kami hancur melihat kemusnahan serta kehilangan nyawa orang awam dan kanak-kanak,” kata Sheeran.
Beliau pada masa sama berkata ketidakadilan sistemik yang berlaku di Tebing Barat tidak boleh dipandang ringan.
Macklemore sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas melaungkan “Free Palestine” ketika mengadakan persembahan di New Jersey.
Tindakan itu kemudian mengundang kritikan daripada pemilik stadium di AS yang menjadi lokasi jelajah Sheeran.
Sheeran bagaimanapun menafikan beliau terbabit dalam keputusan menggugurkan Macklemore sebagai artis pembuka tirai, sebaliknya menyalahkan penganjur jelajah.
Empat artis pembuka tirai lain turut menarik diri daripada jelajah berkenaan sebagai tanda sokongan kepada Palestin.
“Saya terpaksa membuat beberapa keputusan sukar dan saya melakukan kesilapan. Saya benar-benar minta maaf,” katanya kepada penonton.
Sheeran menyifatkan minggu berkenaan sebagai minggu yang paling sukar dalam hidupnya dan mengakui bimbang penonton akan bertindak di luar jangkaan terhadapnya.
Sebelum konsert bermula, beberapa dozen penunjuk perasaan pro-Palestin mengadakan himpunan secara aman di luar Lincoln Financial Field sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan “Free, free Palestine”.
Bagaimanapun, konsert Sheeran tetap berlangsung hampir dengan kapasiti penuh walaupun berlaku peningkatan penjualan semula tiket dan penurunan harga tiket.
Tanpa artis pembuka tirai, Sheeran memulakan persembahannya sebelum membawa masuk lima pemuzik yang katanya mempelajari lagu-lagunya dalam tempoh tiga hari.
Terdahulu, Palestin Campaign for the Academic and Cultural Boycott of Israel (PACBI) menggesa artis, peminat dan kru memboikot jelajah dunia Sheeran.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 73,800 rakyat Palestin terbunuh sejak genosid bermula pada Oktober 2023.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







