BERITA SEMASALUAR NEGARA

Empat maut pesawat ringan terhempas di London

LONDON – Empat individu disahkan maut dalam nahas udara melibatkan sebuah pesawat ringan jenis Beech B200 Super King Air di Lapangan Terbang Southend, Essex, semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan) itu, pesawat milik Zeusch Aviation itu dilaporkan terhempas beberapa saat selepas berlepas disusuli letupan kuat.

Polis Essex mengesahkan nahas itu meragut nyawa dua juruterbang dan dua penumpang.

Susulan kejadian itu, semua penerbangan di Lapangan Terbang Southend dibatalkan dan operasi lapangan terbang itu ditutup sehingga diberitahu kelak.

Siasatan kini dijalankan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) bagi mengenal pasti punca sebenar pesawat itu menjunam secara tiba-tiba ke tanah sebaik sahaja berlepas.

Rakaman tular di media sosial memaparkan kepulan asap tebal dan api marak ke udara di lokasi nahas manakala beberapa saksi menggambarkan pesawat itu berpusing sebelum meletup.

Baca di sini : https://malaysiatribune.news/berita-semasa/pesawat-terhempas-di-london-juruterbang-sempat-lambai-kanak-kanak/

Pesawat terhempas di London, juruterbang sempat lambai kanak-kanak

Antara saksi kejadian ialah Ben Guppy, 34, yang ketika itu bersama anak perempuannya melihat pesawat berkenaan berlepas dari tingkat lima sebuah hotel berhampiran.

“Pesawat itu naik sekitar 50 meter, kemudian ia membelok kiri secara mendadak. Sayap kiri turun, sayap kanan naik.

“Ia seperti membuat satu pusingan ekstrem ke kiri dan tiba-tiba ia berpusing terbalik dan menjunam ke bumi dalam masa beberapa saat,” katanya.

Turut dilaporkan, sekumpulan pemain golf di Kelab Golf Rochford Hundred bergegas ke lokasi nahas sebaik sahaja menyedari letupan berlaku.

Zeusch Aviation, yang berpangkalan di Lelystad, Belanda, dalam kenyataan mengesahkan bahawa pesawat mereka terlibat dalam insiden berkenaan dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Pesawat yang boleh digunakan untuk penerbangan pemindahan perubatan atau pemetaan udara itu difahamkan telah berlepas dari Athens, Greece, menuju ke Pula, Croatia sebelum menuju ke Southend, dan dijadual pulang ke Lelystad malam yang sama.

Lapangan Terbang Southend memaklumkan bahawa semua penerbangan Isnin dibatalkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button