LUAR NEGARA

Banjir Hatyai: Tiang transformer elektrik meletup, tular di media sosial

KUALA LUMPUR – Krisis banjir yang melanda Hatyai semakin meruncing apabila sebuah tiang transformer elektrik meletup akibat paras air yang naik mendadak sekali gus menjejaskan bekalan elektrik dan meningkatkan risiko keselamatan di kawasan bandar berkenaan.

Insiden itu dirakam dalam beberapa video yang tular di media sosial menunjukkan letupan kuat di kawasan Jambatan Mac Khruang, wilayah Songkhla, pagi tadi.

Rakaman berkenaan memperlihatkan percikan api berwarna biru serta asap tebal yang mengejutkan penduduk setempat.

“Pagi tadi kami terdengar bunyi letupan kuat kemudian asap mula keluar dari tiang elektrik. Air banjir ketika itu sudah paras pinggang,” kata seorang penduduk, Leyla.

Banjir yang berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan jalan-jalan utama di pusat bandar Hatyai ditenggelami air, memaksa penduduk tempatan serta pelancong untuk berlindung di hotel dan kawasan kediaman yang lebih tinggi.

Ketiadaan bekalan elektrik sejak semalam turut memaksa banyak kedai dan premis perniagaan ditutup sekali gus menjejaskan aktiviti harian dan perniagaan di kawasan terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang berada di Hatyai dan beberapa daerah sekitar wilayah Songkhla berada dalam keadaan selamat kerana kebanyakannya menginap di hotel bertingkat.

Namun, sebilangan pelancong Malaysia berdepan kesukaran akibat gangguan elektrik sementara dan kekurangan akses makanan berikutan sebahagian kawasan tidak dapat dihubungi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button