Wanita terkandas banjir di Hatyai mohon maaf, maklum bantuan mencukupi
KUALA LUMPUR – Wanita Malaysia yang tular selepas mendakwa terkandas akibat banjir di Hatyai semalam, tampil memohon maaf dan mengesahkan bahawa dia serta keluarganya kini telah menerima bantuan keperluan asas yang mencukupi.
Menerusi hantaran terbaharu di Facebook malam tadi, Lily Suraini mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang tampil menghulurkan sumbangan susu formula, lampin pakai buang dan makanan, sekali gus membantu meringankan kesulitan yang dihadapinya sekeluarga.
“Assalamualaikum, terima kasih atas bantuan. Kami dah dapat bantuan susu, lampin dan makanan.
“Terima kasih banyak kepada hamba Allah yang ramai membantu kami. Tak dapat nak sebut satu-satu sebab terlalu ramai. Saya pun dah dapat mengecas telefon,” katanya.
Dalam masa sama, Lily memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan Thailand atas kekeliruan dan reaksi besar yang tercetus susulan perkongsian awalnya mengenai situasi mereka.
“Saya Lily Suraini memohon maaf atas segala kesulitan ini dan saya tak jangka perkara ini berlaku.
“Saya mohon maaf kepada seluruh ‘page’ Malaysia dan Thailand serta orang-orang pelancongan yang ditekan oleh netizen untuk membantu saya,” ujarnya lagi.
Dia turut mengakui menerima kecaman termasuk dituduh sebagai penipu dan sengaja mencari pengikut di media sosial namun memilih untuk memohon maaf dan menyatakan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
“Ramai yang maki saya, kata saya scammer, mencari pengikut, saya mohon maaf atas segalanya dan tak sangka sebanyak ini yang berkongsi status saya.
“Saya akan berhenti kemas kini apa-apa dan menunggu di sini sehingga semuanya baik dan boleh balik ke Malaysia. Saya mohon semua kongsi status ini dan tutup kes,” katanya.
Terdahulu, Lily sekeluarga dilaporkan terkandas di sebuah hotel di Hatyai selepas kawasan itu dilanda banjir besar akibat hujan berterusan.
Mereka turut berdepan masalah apabila bekalan elektrik terputus dan bateri telefon hampir habis selain kekurangan bekalan susu serta lampin untuk dua anaknya berusia dua dan empat tahun.
Sementara itu, Konsul General Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Selatan Thailand termasuk Hatyai susulan cuaca buruk dan banjir yang semakin memburuk ketika ini.
Katanya, hujan lebat sejak kelmarin menyebabkan ada rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa hotel di sekitar Hatyai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








