BERITA SEMASA

Pelajar dan pensyarah UUM terkandas di Hatyai, bekalan makanan semakin kurang

ALOR SETAR – Sekumpulan pensyarah dan pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di Hatyai, Thailand akibat banjir, berdepan kekurangan makanan, tiada elektrik dan terputus bekalan air sejak malam tadi.

Mereka yang menginap di Wangburapa Grand Hotel, Hatyai dilapor mula terjejas selepas banjir kilat melanda kawasan itu sehingga menenggelamkan jalan sekitar hotel.

Seorang pelajar, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi berkata, bekalan elektrik terputus sejak awal pagi, diikuti bekalan air pada waktu malam.

“Makanan berat langsung tiada, kami hanya bergantung pada roti yang sangat-sangat terhad.

“Line (talian) telefon pun tak stabil, susah nak berhubung. Kami sangat berharap ada bantuan yang boleh disalurkan terutamanya bekalan makanan.

“Kami belum dapat apa-apa bantuan bekalan makanan dari mana-mana pihak, hanya bergantung pada bekalan makanan yang sedia ada sekarang yang sangat terhad,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Dia turut memaklumkan banjir sudah memasuki tingkat bawah hotel, namun mereka masih selamat kerana berada di tingkat lima.

Jelas beliau, hujan yang berterusan menjadikan paras air terus meningkat sekali gus menyukarkan pergerakan keluar dan masuk ke hotel.

“Kawasan luar hotel dan sekitar, termasuk jalan raya memang air naik. Kenderaan pacuan empat roda pun dah tak boleh lalu di kawasan ini sebab air memang dah tinggi, melebihi kapasiti trak,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan empat pensyarah bersama 36 pelajar UUM dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang menyertai Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 terkandas selepas banjir melanda lokasi pelancongan popular itu.

Kumpulan berkenaan sepatutnya pulang semalam selepas dua hari mengikuti program berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button