Rakyat Malaysia terperangkap banjir di Hatyai
KUALA LUMPUR – Beberapa rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Hotel Siam Oriental, Hatyai, Thailand selepas kawasan berkenaan dinaiki air susulan banjir besar yang melanda bandar itu, menyebabkan bekalan makanan dan keperluan anak kecil semakin kritikal.
Mohammad Khairul Md Zain, yang berada di hotel berkenaan bersama isteri serta dua anak berusia setahun dan empat tahun, berkata situasi di lokasi itu seolah-olah mereka berada di sebuah pulau kerana dikelilingi air banjir.
“Macam mana nak hubungi kedutaan? Susu dan lampin anak dah nak habis. Telefon pun kena jimat kerana elektrik tiada,” katanya seperti dipetik daripada laporan Kosmo! Online, sambil merayu bantuan segera termasuk susu, lampin serta makanan dan minuman.
Seorang lagi pelancong, Wan Nur Asyikin Wan Azemim, turut memaklumkan paras air semakin meningkat sehingga mencecah paras pinggang di beberapa kawasan.
“Saya rasa satu anak tangga lagi, air boleh masuk lobi. Banyak kawasan dah tenggelam, kereta pun banyak hanyut. Cuaca pula diramal hujan sampai esok. Saya dah cuba hubungi kedutaan melalui emel, harap bantuan dapat sampai,” katanya.

Beliau yang terperangkap bersama rakan-rakan pejabat serta dua anak kecil berusia sembilan bulan dan lima tahun turut memaklumkan bekalan makanan di hotel hampir habis, manakala susu dan lampin pakai buang hanya mencukupi untuk sehari lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Lily Suraini, turut memohon bantuan melalui Facebook selepas kedai serbaneka berhampiran dilaporkan kehabisan bekalan.
“Kami perlukan makanan dan air mineral. Sesiapa yang boleh bantu, kami terperangkap banjir besar di Hatyai. Air makin naik,” tulisnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








