BERITA SEMASA

Kementerian Luar sahkan 2 rakyat Malaysia cedera dalam insiden letupan IED di Narathiwat

PUTRAJAYA – Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terkorban akibat insiden letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) di Wilayah Narathiwat, Thailand, hari ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden yang berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi waktu tempatan itu turut menyebabkan sebuah kereta milik warga Malaysia mengalami kerosakan.

“Konsulat Jeneral sedang berhubung aktif dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengumpul maklumat sahih serta menyalurkan sebarang bantuan konsular yang sewajarnya kepada pihak terjejas,” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, dua rakyat Malaysia cedera selepas terkena letupan bom di bawah pembetung di Lebuhraya 42, Kampung Phrai Wan, berhampiran daerah kecil Tak Bai, Narathiwat, hari ini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dari Kelantan dan Muhammad Yusri Udin, 38, berasal dari Sabah.

Menurut Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha, Abdullah mengalami kecederaan akibat serpihan bom di bahagian dahi, kecederaan serius pada kaki kiri dan kecederaan di kepala, manakala Muhammad pula hanya cedera ringan.

Dalam pada itu, Kementerian Luar turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di wilayah selatan Thailand supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi sepenuhnya semua arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Bagi memudahkan komunikasi serta penyaluran bantuan konsular dengan lebih pantas, rakyat Malaysia turut digesa mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing menerusi portal e-Konsular (https://ekonsular.kln.gov.my,” katanya.

Untuk bantuan konsular segera atau kecemasan, warga Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla secara terus menerusi aplikasi WhatsApp + (6674) 316 274 / + (6681) 990 1930 / + (6674) 324 004 / + (6674) 312 353 atau emel kan kepada mwsongkhla@kln.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button