Pelancong Malaysia kongsi detik cemas terkandas banjir di Hatyai
KUALA LUMPUR – Datang untuk melancong, akhirnya terperangkap dalam banjir.
Itulah pengalaman yang terpaksa ditempuh seorang rakyat Malaysia, Shukria Aziz, 45, bersama sembilan ahli keluarga serta rakannya ketika berada di Hatyai, Thailand selepas bandar pelancongan itu dilanda banjir kilat sejak kelmarin.

Menurut Shukria yang berasal dari Taman Ehsan, Kepong di sini, mereka terkandas di The Bed Hotel Hatyai dengan keadaan serba gelap tanpa bekalan elektrik dan air.
“Malam pertama kami dalam gelap, tak ada elektrik dan tak ada air. Makanan hanya dapat dua kali sehari, tengah hari dan malam. Bantuan pun lambat,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Dia memaklumkan telah menghubungi pihak Kedutaan Malaysia namun diberitahu bahawa bantuan perlu diutamakan kepada kumpulan yang lebih kritikal terlebih dahulu.

Selepas hampir 24 jam tanpa perkembangan lanjut, Shukria berkata mereka mengambil keputusan untuk keluar dari hotel meskipun dinasihatkan pihak kedutaan supaya kekal berada di dalam bangunan.
“Embassy nasihat duduk diam dalam hotel tapi makanan dah hampir habis, air pun dah hampir habis. Jadi kami ambil keputusan untuk keluar juga,” jelasnya.
Mereka nekad meredah banjir sebelum menerima bantuan daripada bot keselamatan Thailand untuk keluar ke kawasan lebih selamat.
“Pihak hotel banyak membantu juga tapi selebihnya memang kami kena fikir sendiri,” katanya.
Ditanya pengalaman menghadapi bencana yang tidak dijangka itu, Shukria mengakui awalnya dia berasa takut.
“Mula-mula memang takut, tapi lama-lama redha sambil fikir penyelesaian. Kita report pada kedutaan dan mereka bagi respon yang bagus, cuma kami bimbang bila semalaman tak ada apa-apa berita,” jelasnya.
Selepas melihat pergerakan bot penyelamat semalam, mereka mula mencari jalan untuk keluar dari kawasan banjir dan mendapatkan pengangkutan ke sempadan.

Akhirnya pada pukul 9 malam tadi, Shukria memaklumkan, dia dan kumpulannya berjaya menaiki bas dari stesen bas Hatyai menuju ke Danok.
“Saya dah sampai Danok menaiki bas dari stesen bas Hatyai. Sekarang bermalam di Danok, esok (hari ini) baru fikir cara nak balik KL,” kongsinya lagi.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia terkandas berikutan banjir di Hatyai dan beberapa kawasan sekitar selatan Thailand.
Bagaimanapun, semua mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








