‘Saya berpusing-pusing dan kembali ke tempat sama’ – Jaslinda kongsi detik sesat 14 hari di Gunung Batu Putih
KUALA LUMPUR – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, menceritakan pengalaman getir yang dilaluinya sepanjang 14 hari tersesat di kawasan Gunung Batu Putih, Tapah, termasuk menemui sebuah kawasan yang dipercayainya menyerupai gua ketika berusaha mencari jalan keluar dari hutan.
Kisah Jaslinda yang ditemui selamat selepas hampir dua minggu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman menjadi tular di media sosial menerusi beberapa klip video yang memaparkan pengalamannya sepanjang berada di dalam hutan.

Menurut Jaslinda, dia meneruskan perjalanan seorang diri selepas seorang rakan memintanya bergerak terlebih dahulu untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, usahanya untuk keluar dari kawasan berkenaan menjadi semakin sukar apabila dia hilang arah dan berulang kali kembali ke lokasi yang sama.
“Saya jatuh banyak kali. Saya berpusing-pusing dan setiap kali keluar, saya sampai semula di tempat yang sama.
“Kemudian saya cuba ubah haluan ke sebelah kanan dan menemui kawasan berbukit,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Beliau berkata, keadaan muka bumi yang curam serta tanah yang lembik menyukarkan pergerakannya sehingga menyebabkan keletihan melampau.
BACA JUGA:
Maafkan saya rakyat Malaysia, terima kasih semua – Jaslinda
Jaslinda dibawa ke Hospital Tapah untuk pemeriksaan
Jaslinda pilih turun sendiri dari Gunung Batu Putih
Anwar zahir rasa syukur Jaslinda ditemui selamat
“Macam nak mati sebab tanah terlalu lembik. Saya terpaksa turun naik bukit tanpa henti. Mujur ada sumber air dan saya minum air di kawasan itu,” katanya.
Dalam usaha mencari jalan keluar, Jaslinda turut mendakwa menemui sebuah kawasan yang menyerupai gua dan mengambil keputusan untuk masuk ke dalamnya.
“Ada macam gua. Saya masuk dan rasa macam ada sesuatu yang menyuruh saya masuk ke situ,” katanya ketika menceritakan semula pengalaman berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan Jaslinda ditemui selamat semalam selepas 14 hari dilaporkan hilang dan dibawa ke rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sebelum disahkan ditemui oleh pasukan penyelamat.
Penemuan itu sebelum ini disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon.

Sebelum kejadian, Jaslinda menyertai pendakian bersama 13 peserta lain serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) menerusi laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh yang bermula pada 23 Mei lalu.
Beliau dan seorang lagi pendaki dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, namun Jaslinda dipercayai meneruskan perjalanan sebelum dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















