BERITA SEMASA

Jaslinda semakin pulih, kembali ceria selepas dua minggu keseorangan

TAPAH – Keadaan kesihatan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat selepas 14 hari tersesat di kawasan hutan Gunung Batu Putih dilaporkan semakin baik dan menunjukkan perkembangan positif.

Pengarah Hospital Tapah, Dr. Wan Immi Salim berkata, Jaslinda kini kelihatan lebih bertenaga, ceria dan gembira selepas dapat kembali berinteraksi dengan ahli keluarga serta petugas kesihatan.

Menurut beliau, pengalaman berada bersendirian di dalam hutan tanpa berkomunikasi dengan sesiapa selama hampir dua minggu menjadikan pertemuan semula dengan orang ramai satu detik yang amat bermakna buat pendaki itu.

“Hari ini beliau dilihat lebih bertenaga dan ceria. Jaslinda juga gembira apabila ramai yang bertanya khabar selepas dua minggu tidak bercakap dengan sesiapa.

“Kakaknya sentiasa menemani beliau di hospital dan buat masa ini hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan melawat bagi memberi ruang untuk proses pemulihan yang lebih baik,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Mengulas lanjut, Dr. Wan Immi berkata, Jaslinda berada dalam keadaan stabil namun masih memerlukan rawatan dan pemantauan susulan akibat beberapa kecederaan yang dialami sepanjang tempoh tersesat.

BACA JUGA:

Sukarelawan hampir maut dalam SAR Jaslinda

‘Saya berpusing-pusing dan kembali ke tempat sama’ – Jaslinda kongsi detik sesat 14 hari di Gunung Batu Putih

Maafkan saya rakyat Malaysia, terima kasih semua – Jaslinda

Jaslinda dibawa ke Hospital Tapah untuk pemeriksaan 

“Beliau menerima rawatan sebaik tiba di Hospital Tapah pada pukul 9.25 malam semalam.

“Terdapat beberapa luka pada badan dan kecederaan ringan pada kaki, namun keadaannya stabil,” katanya.

Semalam, Jaslinda dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut selepas ditemui selamat di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Penemuan beliau menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang berlangsung selama 14 hari melibatkan pelbagai agensi selepas dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih, Tapah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button