Kakak Jaslinda terkilan adik dipersalah, mohon netizen henti tuduhan
KUALA LUMPUR – Kakak kepada pendaki yang masih hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, Jaslinda Saludin meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir netizen yang terus melemparkan pelbagai tuduhan dan menyalahkan adiknya ketika keluarga sedang berdepan detik sukar.
Jasima Saludin berkata, keluarganya bukan sahaja bergelut dengan kehilangan Jaslinda, malah terpaksa berhadapan dengan komen negatif dan pelbagai andaian yang tular di media sosial.
Menerusi hantaran di TikTok, Jasima yang mesra disapa Min berkata, ramai pengguna internet terlalu cepat membuat penilaian tanpa mengetahui keseluruhan situasi sebenar yang sedang dihadapi keluarga mereka.
“Selepas segala yang keluarga Min lalui kebelakangan ini, Min benar-benar sedar betapa kejamnya dunia internet.
“Orang begitu mudah menghukum dan membuat andaian tanpa mengetahui cerita sebenar. Setiap komen yang ditulis itu memberi kesan dan melukai hati kami yang sedang menanggung kesedihan,” katanya.
Menurutnya, pengalaman tersebut membuka mata keluarganya tentang pentingnya sifat belas ihsan dan empati yang semakin terhakis dalam dunia digital hari ini.
Beliau berkata, masyarakat perlu sedar bahawa di sebalik setiap kisah yang menjadi perhatian ramai, terdapat individu dan keluarga yang sedang berdepan kesedihan serta penderitaan.

“Kita hidup dalam dunia yang pantas menyebarkan pandangan dan pendapat, namun empati sering kali dilupakan.
“Kebaikan tidak memerlukan apa-apa balasan, tetapi belas kasihan dan sikap memahami sangat bernilai,” katanya.
BACA JUGA:
Operasi cari Jaslinda diteruskan
Angin kuat, kanopi tebal tambah kesukaran SAR Jaslinda
Dalam masa sama, Jasima turut memohon maaf sekiranya adiknya pernah melakukan kesilapan atau menyinggung perasaan mana-mana pihak sebelum ini.
“Maaf jika adik Min ada atau pernah melukakan hati kalian. Hanya Allah yang mampu membalas jasa semua yang terus mendoakan serta membantu usaha mencari adik Min,” katanya.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang menzahirkan sokongan kepada keluarga berkenaan serta mendoakan agar Jaslinda segera ditemui dalam keadaan selamat.
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap Jaslinda masih diteruskan dengan penglibatan pelbagai agensi penyelamat serta bantuan masyarakat Orang Asli.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Wanita itu bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad dikatakan mengalami masalah kesihatan dan berhenti berehat sebelum Jaslinda dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak.
Beliau kali terakhir dilihat oleh MGP pada pukul 7.30 pagi, 24 Mei lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








