Nota ditinggal pasukan SAR sahkan Jaslinda berada dalam kawasan pencarian
TAPAH – Penemuan beberapa nota yang ditinggalkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Kem Air Busuk menjadi petunjuk penting yang mengesahkan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, berada dalam kawasan pencarian yang telah difokuskan sepanjang operasi dijalankan.
Menerusi hantaran di Facebook, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan perkara itu diperoleh hasil perbualan dengan Jaslinda selepas beliau ditemui selamat semalam.

Menurut JBPM Perak, nota-nota berkenaan ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP), Hafis pada 30 Mei lalu ketika menyertai operasi pencarian dari Pos Musoh ke Kem Air Busuk.
Antara mesej yang ditinggalkan berbunyi: “Kak Jas, please stay satu tempat. Orang ramai mencari akak.”
Selain itu, terdapat juga beberapa nota yang menunjukkan arah menuju ke Kem Air Busuk bagi membantu mangsa sekiranya melalui kawasan berkenaan.
BACA JUGA:
Sukarelawan hampir maut dalam SAR Jaslinda
Maafkan saya rakyat Malaysia, terima kasih semua – Jaslinda
Jaslinda dibawa ke Hospital Tapah untuk pemeriksaan
Jaslinda pilih turun sendiri dari Gunung Batu Putih
Menariknya, Jaslinda memaklumkan beliau hanya tiba di lokasi tersebut pada 5 Jun sebelum menemui dan membawa keluar semua nota berkenaan.
Nota itu kemudiannya diserahkan kepada pihak bomba selepas beliau berjaya ditemui.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, penemuan itu secara tidak langsung mengesahkan Jaslinda berada di sekitar kawasan yang telah difokuskan oleh pasukan SAR sepanjang operasi dijalankan.
“Setiap usaha dan doa tidak pernah sia-sia. Nota kecil ini menjadi bukti besar bahawa harapan, ketabahan dan kerjasama akhirnya membawa kepada kejayaan,” katanya.
Media semalam melaporkan Jaslinda yang hilang sejak 24 Mei lalu ditemui oleh Orang Asli dari Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh setelah operasi SAR terhadapnya dilakukan selama dua minggu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















