JENAYAH & MAHKAMAH

Buang bayi : Suspek tinggal nota minta tidak dikecam

KOTA KINABALU – Seolah tanpa rasa bersalah, seorang wanita yang dipercayai melahirkan anak secara tidak sah sanggup membuang bayi yang baru dilahirkan dengan sekeping nota yang meminta supaya dirinya tidak dikecam.

“Terima kasih pertolongan anda. Jangan kecam saya, saya pun tidak mahu ini terjadi,” begitulah tulisan yang ditemui bersama mayat seorang bayi perempuan di dalam tong sampah sanitasi sebuah pusat beli belah di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superitenden Kalsom Idris berkata, nota berkenaan turut menyatakan pelaku memohon maaf atas perbuatannya dan meminta orang ramai mencari tempat yang sesuai untuk anaknya.

Beliau berkata, polis menerima aduan mengenai kejadian daripada seorang penyelia syarikat pembersihan pada pukul 9.40 malam Khamis lalu semasa kerja-kerja pembersihan tong sanitasi dilakukan.

“Hasil pemeriksaan mendapati satu mayat bayi perempuan cukup sifat ditemukan dalam keadaan berbalut dengan kain tuala.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian selain membuat risikan maklumat bagi mengenal pasti suspek terlibat.

Polis juga menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu berhubung dengan Inspektor Hatikah Ahmad @ Abd Ghani di talian 016-8337243.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button