Laluan Gunung Batu Putih dikelilingi lapan perkampungan Orang Asli
KUALA LUMPUR – Gunung Batu Putih di Tapah, Perak yang menjadi lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin dikelilingi sekurang-kurangnya lapan penempatan Orang Asli termasuk Pos Musoh dan Pos Gedong yang terletak paling hampir dengan kawasan berkenaan.
Selain dua penempatan itu, kawasan sekitar turut merangkumi Pos Titom, Pos Lenjang, Pos Lemoi, Pos Sinderut, Pos Tenau dan Pos Jernang yang menjadi antara laluan komuniti Orang Asli di pedalaman.
Malim gunung, Zubir Ahmad Muhammad Ismail berkata, kejadian pendaki tersesat dan kemudian ditemukan di penempatan Orang Asli bukan sesuatu yang asing di kawasan tersebut.
Menurutnya, situasi itu memberi harapan bahawa mana-mana pendaki yang hilang berkemungkinan memasuki kawasan perkampungan berhampiran tanpa disedari.

“Kita mengikuti rapat operasi SAR seorang pendaki wanita yang sedang giat dijalankan ketika ini dan sudah memasuki minggu kedua.
“Sebelum ini pernah berlaku kes pendaki ditemukan semula selepas dua minggu hilang, jadi saya percaya peluang untuk mangsa ditemui masih ada,” katanya memetik laporan BH Online.
Jaslinda bersama 13 peserta lain serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan ekspedisi Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedong-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Difahamkan, Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan sebelum berhenti berehat, namun mangsa kemudian meneruskan perjalanan menuju ke puncak.
Mangsa kali terakhir dilihat oleh MGP pada 24 Mei pukul 7.30 pagi sebelum operasi SAR dilancarkan pada hari sama sebaik laporan kehilangan diterima pihak berkuasa.
Gunung Batu Putih setinggi 2,132 meter itu terkenal sebagai antara trek pendakian mencabar kerana bentuk muka bumi berbukit, laluan hutan tebal serta memerlukan tahap stamina dan disiplin kumpulan yang tinggi sepanjang ekspedisi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






