BERITA SEMASA

Gunung Batu Putih ditutup sementara, aspek keselamatan pendaki dinilai semula

IPOH – Kawasan pendakian Gunung Batu Putih di Tapah ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta susulan kehilangan seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang masih belum ditemui sejak dilaporkan hilang pada 24 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf berkata, penutupan sementara itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan bagi membolehkan pihak berkuasa menilai semula aspek keselamatan serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan laluan pendakian.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan prosedur biasa yang dilaksanakan selepas berlakunya insiden di kawasan rekreasi hutan bagi memastikan tahap keselamatan pengunjung berada pada tahap terbaik sebelum dibuka semula.

“Gunung itu ditutup sementara kerana lazimnya kita akan melihat dari segi keselamatan dan melakukan kerja-kerja pembaikan terlebih dahulu. Tempohnya mungkin antara tiga hingga enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 2026 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, Saarani mencadangkan supaya komuniti Orang Asli setempat dilibatkan lebih awal dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan di kawasan hutan, khususnya Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Beliau berkata, masyarakat Orang Asli yang tinggal berhampiran kawasan hutan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai keadaan muka bumi dan laluan di kawasan berkenaan, sekali gus mampu membantu mempercepatkan operasi SAR.

Selain itu, katanya, penglibatan awal komuniti berkenaan dapat mengelakkan kerosakan terhadap kawasan tanaman dan lokasi kutipan hasil hutan yang menjadi sumber pendapatan mereka.

“Selain Jabatan Perhutanan, hutan juga dijaga oleh komuniti Orang Asli yang memang menetap di kawasan itu dan mereka lebih mengetahui selok-belok hutan berkenaan.

“Ada kalanya mereka merungut kerana tidak dimaklumkan mengenai kehadiran ramai pendaki.

“Apabila berlaku kehilangan dan operasi menyelamat dijalankan, kawasan tanaman mereka turut terjejas akibat pergerakan anggota penyelamat yang ramai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan Tok Batin dan komuniti Orang Asli perlu dijadikan antara pihak utama yang dirujuk serta dilibatkan dalam sebarang operasi menyelamat di kawasan pendakian.

Terdahulu, komuniti Orang Asli dari Kampung Orang Asli Ampang Woh hanya menyertai operasi SAR Jaslinda pada Selasa lalu, iaitu selepas lebih seminggu operasi dijalankan dan memasuki hari kesembilan pencarian.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, Perak sememangnya mempunyai peraturan khusus berkaitan aktiviti pendakian gunung, termasuk penetapan tempoh minimum pendakian berdasarkan ketinggian sesuatu gunung.

Namun menurut beliau, garis panduan tersebut perlu diteliti semula agar tidak hanya bergantung kepada faktor tempoh pendakian semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira tahap kecergasan fizikal dan kemahiran peserta.

“Orang yang hendak mendaki bukan sahaja perlu mengambil kira bilangan hari pendakian, tetapi juga tahap kecergasan serta kemahiran tertentu yang perlu diperhalusi.

“Saya dimaklumkan UPSI juga bercadang mewujudkan kelas berkaitan kemahiran mendaki, dan ini merupakan satu langkah yang baik untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan pendaki,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button