Najis tikus: Tiga premis makanan diarahkan tutup serta merta
KUALA LUMPUR – Tiga premis makanan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor dekat sini diperintahkan tutup serta-merta selepas pemeriksaan pihak berkuasa menemui najis tikus dan pelbagai pelanggaran kebersihan di kawasan penyediaan makanan.
Penutupan itu dilakukan dalam Ops Suci yang dijalankan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor baru-baru ini bertujuan memastikan tahap kebersihan premis makanan berada pada standard yang ditetapkan.
Menurut MPHS, pemeriksaan mendapati premis berkenaan turut beroperasi tanpa lesen perniagaan, sementara beberapa pengendali makanan pula tidak memiliki suntikan pelalian anti-tifoid.
“Turut dikesan ialah peti sejuk kotor dan tiada kawalan suhu, peralatan memasak tidak bersih, lantai dapur licin serta menakung air, penggunaan kotak telur dan papan pemotong kayu yang berisiko menyebabkan pencemaran silang, selain perangkap sisa makanan yang gagal disenggara dengan baik.
“Tandas yang tidak mencapai piawaian turut menjadi antara faktor penutupan tersebut,” kata MPHS dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Hasil operasi itu, MPHS mengeluarkan enam kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan 2007.
Sementara itu, PKD turut mengeluarkan tiga kompaun di bawah Akta Makanan 1983, manakala Jabatan Bangunan mengeluarkan satu notis amaran. Jabatan Penguatkuasaan pula mengeluarkan 13 kompaun atas kesalahan termasuk perniagaan tanpa lesen, iklan tanpa kebenaran dan halangan kaki lima.
MPHS berkata, penutupan serta-merta itu disertakan notis selama 14 hari bagi membolehkan pemilik premis menjalankan pembersihan menyeluruh sebelum pemeriksaan semula dilakukan.
Pihak berkuasa tempatan itu berharap tindakan tegas ini menjadi peringatan kepada semua pengusaha makanan agar mematuhi piawaian ditetapkan.
“Amalan kebersihan yang baik bukan sahaja menjamin kesihatan pengguna, tetapi turut meningkatkan imej perniagaan dan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat untuk komuniti setempat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








