Kelibat harimau, kawasan rekreasi Bukit Bangkong ditutup sementara
TAPAH – Kawasan rekreasi Bukit Bangkong di Chemor, Ipoh yang sering menjadi tumpuan aktiviti pendakian ditutup sementara selepas kelibat seekor harimau dikesan di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, penutupan kawasan itu masih berkuat kuasa bagi memastikan keselamatan orang ramai sementara operasi menjejak haiwan liar tersebut dijalankan.
“Saya difahamkan langkah memasang jerat dan umpan sudah diambil. Kita harap usaha itu berjaya mengumpan harimau keluar seterusnya menangkapnya.
“Selagi haiwan ini belum ditemui, kawasan itu tidak boleh dibuka kepada orang ramai atas faktor keselamatan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kemunculan seekor harimau dan penemuan dua lembu ternakan mati akibat diserang mamalia berkenaan dan lima lagi hilang sejak Sabtu lalu.
Menurut beliau, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) turut mengarahkan anggotanya yang berkemahiran tinggi untuk menjejak harimau berkenaan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








