BERITA SEMASA

5 premis makanan kotor di Machang diarah tutup, kompaun RM12,250

KOTA BHARU – Sebanyak lima premis makanan di Machang diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan dalam operasi penguatkuasaan baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 bagi memastikan tahap keselamatan makanan sentiasa terjamin.

Menurutnya, pemilik premis yang ingkar arahan penutupan boleh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Penutupan ini adalah hasil Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 03/2026 yang dilaksanakan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan pada 21 April lalu.

“Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan terhadap peraturan kebersihan serta mencegah penyakit bawaan makanan dan air seperti keracunan makanan, tifoid dan kolera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 47 premis makanan termasuk kedai makan dan restoran diperiksa melibatkan 71 anggota kesihatan.

Beliau berkata, pemeriksaan tertumpu di sekitar Bandar Machang, Pulai Chondong, Labok, Batu 30, Jalan Tanah Merah dan Jalan Pangkal Meleret.

Selain arahan penutupan, sebanyak 61 notis tawaran kompaun berjumlah RM12,250 turut dikeluarkan terhadap pemilik dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Kesalahan paling banyak direkodkan ialah kegagalan mematuhi keperluan pakaian pengendali makanan dengan 46 notis melibatkan kompaun RM4,600.

“Turut dikesan kesalahan membenarkan pekerja tanpa suntikan vaksin atau latihan mengendalikan makanan serta kegagalan memastikan premis sentiasa berada dalam keadaan bersih,” katanya lagi.

Tambah beliau, pemilik dan pengendali premis bertanggungjawab memastikan tahap kebersihan dipatuhi pada setiap masa.

“Bimbingan akan diberikan bagi tujuan penambahbaikan, namun tindakan penutupan tetap dikenakan sekiranya premis masih gagal mematuhi syarat dalam pemeriksaan susulan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai khususnya di Machang dan seluruh Kelantan supaya lebih peka dalam memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar bagi mengelakkan risiko penyakit bawaan makanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button