BERITA SEMASA

Mangsa pertama terperangkap gua di Laos berjaya dikeluarkan

XAYSOMBOUN – Seorang daripada tujuh lelaki yang terperangkap di dalam sebuah gua di Laos sejak lebih seminggu lalu berjaya dibawa keluar dengan selamat ketika operasi menyelamat memasuki fasa kritikal hari ini.

Pasukan penyelamat Thailand memaklumkan kejayaan itu menerusi satu kenyataan di Facebook, sambil menambah keadaan empat lagi mangsa yang telah ditemui akan dinilai sebelum usaha diteruskan bagi mengesan dua individu yang masih hilang.

Terdahulu, kesemua tujuh mangsa yang merupakan pencari emas itu dilaporkan terperangkap selepas memasuki gua di Wilayah Xaysomboun pada 20 Mei lalu sebelum hujan lebat menyebabkan paras air meningkat secara mendadak.

Operasi menyelamat melibatkan penyelam profesional dan pasukan khas dari Thailand, Perancis, Indonesia serta Australia yang berdepan cabaran besar berikutan keadaan gua yang sempit, gelap dan dipenuhi air.

Sebelum ini, usaha menyelamat tertumpu kepada kerja mengepam keluar air banjir monsun yang memerangkap mangsa di dalam gua berkenaan.

Anggota pasukan penyelamat Thailand, Kengkard Bonggawong berkata, seorang mangsa telah berjaya dibawa keluar manakala operasi mencari dua lagi mangsa yang masih belum ditemui akan diteruskan.

Rakaman video yang dirakam pasukan penyelamat menunjukkan mangsa berada dalam keadaan lemah, berlumpur serta mengadu sakit dada dan kelaparan selepas terperangkap selama beberapa hari.

Dalam masa sama, Jabatan Meteorologi Laos meramalkan ribut petir dan hujan di sekitar 60 peratus kawasan Xaysomboun hari ini, sekali gus dijangka menambah cabaran kepada operasi menyelamat.

Insiden itu turut mengimbau kembali operasi menyelamat pasukan bola sepak remaja Thailand, Wild Boars pada 2018, apabila 12 pemain dan jurulatih mereka berjaya diselamatkan selepas terperangkap selama 18 hari di dalam sebuah gua di utara Thailand.

Malah, dua penyelam yang pernah terlibat dalam operasi bersejarah itu kini turut membantu misi menyelamat di Laos selepas diminta memberikan kepakaran dan peralatan khas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button