BERITA SEMASA

Wakil Astro AWANI meninggal dunia selepas buat liputan banjir, Fahmi Fadzil rakam ucapan takziah

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah di atas pemergian wakil Astro AWANI di Perlis, Asry Shafii, awal pagi tadi.

Fahmi yang turut bersedih apabila menerima khabar duka itu mendoakan keluarga Allahyarham diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan itu.

“Baru semalam Allahyarham membuat liputan secara langsung dari Kedah mengenai operasi evakuasi rakyat Malaysia yang masih terperangkap akibat banjir di Hat Yai.

“Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga serta sahabat handai Allahyarham. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan ini.

“Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik laporan Astro AWANI, difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 49 tahun awal pagi ini ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai membuat liputan mengenai proses evakuasi rakyat Malaysia yang terperangkap akibat banjir di Hatyai.

Allahyarham Asry pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebelum menjadi wakil Astro AWANI di Perlis.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak dengan yang paling bongsu berusia 11 tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button