Himpunan aman di hadapan Parlimen tidak wajar dihalang
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendirian sebarang bentuk perhimpunan secara aman di hadapan bangunan Parlimen tidak harus dihalang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri turut menolak cadangan memindahkan lokasi himpunan ke Padang Merbok dengan menegaskan rakyat mempunyai hak untuk berhimpun termasuk di hadapan Parlimen.
“Susulan beberapa siri perhimpunan aman di hadapan Parlimen, terdapat perbincangan Ahli Parlimen dan Jemaah Menteri mengenai kewajaran mengadakan lokasi khusus untuk mana-mana pihak berkumpul.
“Ia bertujuan menyerahkan memorandum atau menyatakan pandangan tanpa berada di hadapan Parlimen. Namun Perdana Menteri menegaskan berhimpun di hadapan Parlimen tidak harus dihalang,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau meminta individu yang ingin menyertai mana-mana himpunan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan serta kelancaran lalu lintas di kawasan terbabit.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Perdana Menteri telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa meneliti beberapa penambahbaikan di kawasan Padang Merbok.
“Perdana Menteri mengarahkan Menteri Wilayah untuk meneliti pagar di sekitar Padang Merbok bagi melakukan beberapa penambahbaikan supaya orang ramai boleh menggunakan padang tersebut dengan lebih baik.
“Jadi untuk maklumat lanjut mengenai status Padang Merbok boleh dirujuk kepada Menteri Wilayah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








