PM mahu laporan insiden jet pejuang TUDM dibentang di kabinet
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu laporan siasatan berhubung insiden pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) F/A-18D Hornet yang musnah dalam nahas malam tadi dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.
“Perdana Menteri telah minta Menteri Pertahanan memberikan maklum balas dan status terkini siasatan terhadap kemalangan yang melibatkan pesawat F/A-18D Hornet di Kuantan malam tadi.
“Siasatan akan dilakukan dan dibentangkan semula ke Jemaah Menteri setelah ia siap,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, Jemaah Menteri turut menzahirkan rasa syukur kerana juruterbang yang terbabit dalam kejadian itu selamat.
“Menteri Pertahanan telah memaklumkan bahawa kedua-dua juruterbang selamat, Alhamdulillah,” katanya.
Terdahulu, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, juruterbang berpangkat Mejar berusia 34 tahun dan jurusensor senjata pesawat berpangkat Kapten berusia 28 tahun sempat menekan butang keluar sebelum jet pejuang berkenaan terhempas.
Insiden berlaku di Pangkalan Udara Kuantan pada pukul 9.05 malam tadi.
Kedua-dua pegawai TUDM itu telah dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada pukul 2 pagi tadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








