TUDM hantar 1.1 tan bekalan makanan ke kampung terjejas banjir di Tenom
TENOM – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan misi bantuan kemanusiaan menerusi Op Murni dengan menghantar 1.1 tan bekalan makanan ke kawasan terjejas banjir di Kampung Semambu, di sini baru-baru ini menggunakan pesawat AW139.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan memaklumkan, misi yang dilaksanakan pada 5 Mac itu menggunakan pesawat daripada Detasemen No. 3 Skuadron, Pangkalan Udara Kuching bagi membantu penduduk yang terputus hubungan akibat bencana banjir.

“Misi ini diketuai Ketua Detasemen No. 3 Skuadron, Mejar M Khairul Azwan Ismail yang melibatkan penghantaran bekalan makanan seberat 1.1 tan dari Pejabat Daerah Kecil Kemabong ke Sekolah Kebangsaan Sumambu, Tenom.
“Penerbangan dikendalikan oleh Ketua Flait Operasi, Mejar Ahmad Syukur Razali bersama Pembantu Juruterbang, Kapten Muhamad Fadzil Ahmad Bustamam; Kuartermaster Udara, Sarjan Iman Asnawi Mustapha serta anggota AFMACE, Flait Sarjan Mariman Makhtar,” menurut MINDEF menerusi hantaran di Facebook.
Tambahnya, pesawat dan anak kapal berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada pukul 8 pagi sebelum selamat mendarat di Airstrip Keningau pada pukul 2 petang selepas menamatkan misi penghantaran bekalan tersebut.

Selepas itu, pesawat berkenaan meneruskan penugasan di bawah Op BALASAH bagi melaksanakan pertukaran trup Op BALASAH Siri 2/26 melibatkan 26 RAMD dan 7 RAMD.
“Penghantaran melalui udara dilaksanakan berikutan laluan darat ke Kampung Semambu terputus sepenuhnya akibat tanah runtuh selepas hujan berterusan sejak minggu lalu,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, MINDEF turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan misi berkenaan termasuk kru pesawat, Pangkalan Udara Kuching, Tentera Darat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, RELA serta agensi lain yang memberikan kerjasama secara langsung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








