BERITA SEMASA

Bekalan makanan negara masih stabil, rakyat diminta tidak panik – Mohamad Sabu

PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bekalan makanan negara ketika ini masih terkawal dan stabil bagi jangka pendek meskipun dunia sedang berdepan krisis bekalan global.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu panik atau membuat pembelian secara berlebihan kerana kerajaan sentiasa memantau situasi semasa dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara.

Menurutnya, bekalan beras negara mencukupi sehingga hujung tahun dengan kerajaan turut menambah stok penimbal kepada 300,000 tan metrik bagi mengukuhkan kestabilan bekalan.

“Beras cukup sampai hujung tahun. Kita siap tambah stok penimbal sampai 300,000 tan metrik. Tak perlu borong berlebihan, beli macam biasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, bekalan ayam dan telur pula kini hampir mencapai tahap sara diri sepenuhnya, namun negara masih bergantung kepada import bagi makanan ternakan seperti jagung dan soya.

Katanya, kementerian sedang berusaha mengurangkan kebergantungan tersebut secara berperingkat bagi memastikan rantaian bekalan lebih mampan.

Bagi sektor sayur-sayuran, beliau memaklumkan kementerian kini menyusun jadual tanaman petani selain memperkukuh sistem ladang kontrak supaya hasil pengeluaran lebih terancang dan kebajikan petani terus terpelihara.

Dalam masa sama, Mohamad berkata bekalan ikan rakyat turut berdepan cabaran susulan cuaca panas El-Nino dan peningkatan kos diesel, namun usaha memperkasa sektor akuakultur sedang giat dilaksanakan sebagai alternatif untuk memastikan bekalan kekal mencukupi.

“Tak perlu panik, tak perlu simpan stok berlebihan. Kerajaan sentiasa peka dan sedang buat yang terbaik supaya rakyat tidak terkesan.

“Insya-Allah, kita jaga sama-sama. Kita boleh hadap cabaran ini bersama,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button