Pemeriksaan empat warga asing di Hari Terbuka TUDM sebahagian prosedur keselamatan
KUANTAN – Gambar empat warga asing diperiksa anggota pasukan keselamatan ketika Hari Terbuka TUDM di Pangkalan Udara Kuantan, semalam yang menjadi tular di media sosial merupakan sebahagian prosedur keselamatan standard yang dilaksanakan sepanjang program tersebut.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian itu berlaku semalam ketika pasukan keselamatan menjalankan rondaan di sekitar kawasan program.
Kata kenyataan itu, anggota keselamatan mendapati empat individu terbabit menghampiri had kawasan yang dikhususkan untuk pengunjung awam sebelum pemeriksaan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan atau integriti pangkalan.
“Pemeriksaan ke atas peralatan kamera serta telefon bimbit mereka juga tidak menemukan sebarang bahan yang mencurigakan,” kata kenyataan itu, hari ini.
TUDM turut menjelaskan bahawa pemeriksaan keselamatan secara rawak merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang sentiasa dilaksanakan sepanjang program yang melibatkan kehadiran orang awam.
“TUDM akan terus memastikan keselamatan aset strategik, warga pangkalan dan pengunjung sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








