BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Pemukiman khas bentuk SOP menangani kes buli dalam masa terdekat

PUTRAJAYA – Satu sesi pemukiman bersama beberapa kementerian dan agensi berkaitan akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelaras prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kes buli supaya isu itu dapat ditangani secara menyeluruh.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penyelarasan tersebut akan membabitkan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pertahanan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Bermula Julai lalu, pindaan Seksyen 507 telah diperkenalkan dengan memberi definisi jelas apa itu buli dan menjadikannya satu jenayah. Maka, SOP dan beberapa perkara berkaitan perlu difahami oleh semua institusi.

“Pemukiman itu akan menyelaras pendekatan di pelbagai institusi kerana mungkin di satu tempat caranya berbeza dengan tempat lain, tetapi aspek pendakwaan dan keselamatan melibatkan banyak pihak. Justeru ia perlu dibincang dan dimuktamadkan bersama,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Pada 11 Ogos lalu, kerajaan memperkenalkan peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan bagi menangani kes buli, gangguan, penghinaan serta penyalahgunaan maklumat identiti termasuk yang berlaku secara dalam talian.

Mengulas lanjut cadangan penubuhan tribunal khusus untuk menangani kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak, Fahmi berkata, perkara itu akan dibawa semula ke Jemaah Menteri selepas dokumen berkaitan dimuktamadkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button